ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mendukung pendirian PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU yang diputuskan malam tadi.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya, turut menjelaskan kerjasama antara parti itu dan BERSATU sebelum ini adalah berasaskan kepada konsep ta'awun siyasi yang bertitik tolak daripada prinsip tolong menolong atas dasar kebaikan.
Beliau berkata, prinsip itulah menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan PAS secara konsisten sejak gagasan penyatuan ummah dilaksana sejak sekian lama.
"Dewan Ulamak PAS Pusat mendukung penuh pendirian PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti BERSATU.
"Pendirian itu susulan daripada kenyataan Tan Sri Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) yang sebelumnya menyatakan hasrat mengkaji semula hubungan politik dengan parti berkenaan.
"Agenda untuk memperjuangkan gagasan penyatuan ummah ini adalah teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik PH-DAP," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, agenda itu wajar digerakkan secara konsisten ketika jentera PAS sedang bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik.
Namun, katanya apabila kerjasama politik tidak menatijahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, maka keputusan mengenainya perlu dibuat.
"Tambahan lagi terdapat halangan-halangan tertentu, maka pendirian yang dinyatakan oleh PAS Pusat ini hadir tepat pada masanya.
"DUPP ingin menyeru seluruh anggota 'abnaul harakah' (ahli parti) agar menerima keputusan PAS Pusat dengan jiwa besar.
"Insya-Allah apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam. PAS tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah," katanya.
























