KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bukan jenis chauvinis, perkauman, apabila menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sehubungan itu, Zambry berkata, tidak perlulah mana-mana pihak terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Onn Hafiz berhubung DAP.
Ini kerana pendirian beliau lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik, bukannya sentimen perkauman.
"Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang berbeza pandangan politik. Sepanjang menerajui Johor, Onn telah membuktikan bahawa beliau berkhidmat untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik.
"Harus diingat bahawa Negeri Johor pada penggal lalu ditadbir oleh Barisan Nasional sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, pendirian politik yang dinyatakan beliau perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri dan mandat yang diperjuangkan oleh BN Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Zambry berkata, pihaknya sering juga mendengar pelbagai kritikan, sindiran malah kecaman terhadap UMNO dan Barisan Nasional yang dilontarkan di pentas-pentas politik pihak lain.
Namun, tidak pula UMNO/BN menjadikannya isu besar atau menyerang mereka secara berlebihan.
Apa yang lebih penting katanya, ialah komitmen semua pihak untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
"Dalam aspek ini, Datuk Onn Hafiz terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai Menteri Besar Johor," katanya.
Menurut Zambry, daripada terus membesarkan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, adalah lebih baik semua pihak menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi PRN, menawarkan idea dan penyelesaian terbaik kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
Akhirnya, rakyat akan menilai berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan memimpin, bukannya retorik yang memecah-belahkan.
























