BH Online
Ringkasan Berita

SAYS lancar kempen 'Just Flow With It' tingkat literasi kesihatan wanita

KUALA LUMPUR: Akses kepada maklumat yang tepat dan mudah difahami memainkan peranan penting dalam membantu individu membuat keputusan lebih baik berkaitan kesihatan serta kesejahteraan diri.

KUALA LUMPUR: Akses kepada maklumat yang tepat dan mudah difahami memainkan peranan penting dalam membantu individu membuat keputusan lebih baik berkaitan kesihatan serta kesejahteraan diri.

Bagaimanapun, masih ramai yang berdepan cabaran mendapatkan maklumat yang relevan dan boleh dipercayai, khususnya berkaitan aspek kesihatan wanita yang sering kurang dibincangkan secara meluas.

Menyedari keperluan itu, platform media digital SAYS melancarkan kempen Just Flow With It bagi meningkatkan literasi kesihatan wanita menerusi kandungan pendidikan, penglibatan komuniti dan perkongsian pengalaman sebenar.

Inisiatif berkenaan turut bertujuan mewujudkan ruang yang lebih terbuka untuk masyarakat mendapatkan maklumat, bertukar pandangan dan memperluaskan pemahaman mengenai pelbagai aspek penjagaan diri serta kesejahteraan wanita.

Ketua Rangkaian Bahasa Inggeris REV Media Group, Laila Zain, berkata usaha memperkukuh literasi kesihatan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat mempunyai akses kepada maklumat yang tepat dan berkualiti.

Menurut beliau, pendedahan kepada maklumat yang sahih dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman orang ramai mengenai isu berkaitan penjagaan kesihatan.

"Maklumat yang tepat memainkan peranan penting dalam membantu individu membuat keputusan yang lebih baik berkaitan kesihatan dan kesejahteraan diri.

"Melalui Just Flow With It, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengakses maklumat yang mudah difahami serta berpeluang berkongsi pengalaman dalam persekitaran yang positif dan menyokong," katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, SAYS menyediakan hab kandungan khas yang menghimpunkan pelbagai maklumat, panduan dan perkongsian berkaitan kesihatan wanita dalam format yang ringkas serta mudah diakses. 

Kandungan yang disediakan memberi tumpuan kepada isu dan pengalaman yang dekat dengan kehidupan seharian, sekali gus membantu masyarakat memperoleh pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai aspek penjagaan diri dan kesejahteraan.

Selain bahan pendidikan, kempen berkenaan turut memperkenalkan ciri interaktif yang membolehkan orang ramai berkongsi pengalaman secara tanpa nama.

Pendekatan itu dilihat mampu mewujudkan ruang yang lebih inklusif untuk masyarakat berkongsi pandangan dan pengalaman, selain memperkukuh sokongan komuniti melalui perkongsian perspektif yang pelbagai. 

Maklum balas terpilih akan dipaparkan di platform berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menghimpunkan pengalaman sebenar yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai. 

Bagi memperluaskan capaian kempen, SAYS turut menghasilkan kandungan video pendek, bahan media sosial dan pelbagai format digital interaktif yang disesuaikan dengan corak penggunaan media masa kini. 

Pada masa sama, inisiatif itu akan diperluaskan menerusi pelbagai aktiviti komuniti termasuk program kecergasan dan kesejahteraan awam secara percuma yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta. 

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Just Flow With It, layari says.com/justflowwithit.

Video Terkini

Berita Berkaitan