KUALA LUMPUR: Dalam era perubahan iklim yang semakin ketara, ketahanan iklim tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda masa hadapan semata-mata.
Sebaliknya, ia menuntut tindakan segera yang menyentuh nadi kehidupan harian rakyat. Malah, ia perlu diterjemahkan kepada aspek paling asas dalam kehidupan seharian iaitu jaminan bekalan air yang selamat, stabil dan mencukupi.
Tanpa asas ini, kesejahteraan rakyat dan kelangsungan ekonomi negara mudah terjejas setiap kali alam mengganas.
Tanpa sistem air yang kukuh, sebarang gangguan cuaca ekstrem seperti banjir atau kemarau berpotensi memberi kesan besar bukan sahaja kepada kesejahteraan rakyat tetapi juga ekonomi negara dengan Selangor dan Kuala Lumpur menyumbang 25 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Pada peringkat nasional, amaran itu sudah pun jelas. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kerugian akibat banjir sebanyak RM636.9 juta pada tahun 2025 menunjukkan betapa kritikalnya isu ini.
Seiring itu, agenda Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan iklim melalui penggunaan ramalan banjir, pemodelan data lanjutan serta perancangan senario bagi menghadapi ketidaktentuan cuaca.
Dalam konteks ini, peranan Air Selangor menjadi amat signifikan, khususnya bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menempatkan 9.62 juta pengguna.

Jaminan bekalan air tidak boleh lagi dilihat sekadar sebagai operasi rutin, sebaliknya sebagai keperluan strategik bagi menyokong wilayah metropolitan yang pesat berkembang.
Permintaan air terus meningkat selari dengan urbanisasi, pertumbuhan ekonomi dan aktiviti industri.
Prestasi Air Selangor pada tahun 2025 menunjukkan, daya tahan sistem air boleh dibina melalui kecekapan operasi yang konsisten.
Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) berjaya dikurangkan kepada 26.76 peratus atau bersamaan 301.3 juta liter sehari, sekali gus meletakkan syarikat itu di landasan tepat untuk mencapai sasaran pengurangan kepada 25 peratus menjelang 2030.
Margin rizab air pula kekal pada tahap selesa iaitu 17.86 peratus setakat Disember 2025, mencerminkan kestabilan bekalan.
Selain itu, Indeks Paip Pecah mencatatkan penurunan kepada 2.94 kes bagi setiap 100 kilometer setahun, jauh lebih baik daripada penanda aras antarabangsa sebanyak 13 kes.
Pematuhan kualiti air minuman juga berada pada tahap tinggi iaitu 99.96 peratus, sekali gus menunjukkan pencapaian bahawa jaminan air bermula daripada sistem yang cekap, responsif dan berdaya tahan.
Perkukuh kapasiti airÂ
Bagi memenuhi keperluan masa hadapan, Air Selangor turut memperkukuh kapasiti dan aset melalui pelaksanaan projek strategik.
Ia termasuk Skim Bekalan Air Rasau yang diunjurkan mampu menghasilkan kira-kira 1,400 juta liter air terawat sehari.
Projek ini menjadi antara yang terbesar di Asia Tenggara dan unik sebagai projek Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) atau Off-River Storage dwi-fungsi pertama di Malaysia yang bukan sahaja menyokong bekalan air mampan, malah membantu mitigasi banjir.

Pada masa sama, Air Selangor menetapkan sasaran menggantikan 300 kilometer paip setahun, meningkat kepada 400 kilometer setahun mulai tahun 2034 dengan matlamat keseluruhan menggantikan 6,000 jumlah keseluruhan paip lama menjelang tahun 2040.
Selain memperkukuh infrastruktur, usaha mempelbagaikan sumber air turut menjadi keutamaan.
Melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd, usaha sama antara Air Selangor dan Indah Water Konsortium, inisiatif Loji Air Pulih Guna (WRP) diperluas bagi menyokong permintaan sektor industri baharu seperti pusat data yang diunjurkan melebihi 240 juta liter sehari.
Pendekatan ini mencerminkan peralihan ke arah pengurusan air yang lebih inovatif dan mampan, selari dengan agenda transformasi sektor air negara.
Namun, ketahanan iklim tidak akan lengkap tanpa perubahan sikap dalam kalangan pengguna.
_1780890838.jpg)
Selaras dengan sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menurunkan penggunaan air kepada 180 liter per kapita sehari menjelang 2030, Air Selangor komited mengintegrasikan usaha penjimatan air melalui Water Conservation Roadmap tahun 2025 hingga tahun 2030, termasuk ciri LCD dan lapor kebocoran dalam aplikasi Air Selangor bagi membantu pengguna memantau penggunaan air serta melaporkan kebocoran dengan lebih mudah dan pantas.
Ini penting kerana jaminan bekalan air bukan sahaja bergantung kepada loji rawatan dan rangkaian paip, tetapi juga kepada budaya penggunaan berhemah di peringkat isi rumah, institusi dan perniagaan.

















