BH Online
Ringkasan Berita

MetMalaysia keluarkan amaran tsunami di pesisir pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat di luar pantai Mindanao, Filipina, jam 7.37 pagi tadi.
MetMalaysia keluarkan amaran tsunami di pesisir pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu

Pihak berkuasa memantau keadaan laut di pesisir pantai Sabah berikutan gempa bumi di luar pantai Mindanao - Foto ihsan bomba

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat di luar pantai Mindanao, Filipina, jam 7.37 pagi tadi.

Gempa bumi berukuran 7.9 magnitud itu direkodkan pada koordinat 5.7° Utara dan 125.1° Timur, kira-kira 747 kilometer di timur Semporna, Sabah, pada kedalaman 50 kilometer.

MetMalaysia memaklumkan ombak tsunami dijangka tiba di kawasan pesisir pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata siren nasihat tsunami dibunyikan di empat lokasi iaitu Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu sebagai langkah siap siaga dan amaran awal buat penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau juga berkata, berdasarkan analisis, tsunami setinggi 0.4 meter (m) dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu pada jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.

"Saya nasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit memberi kerjasama penuh dan patuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Situasi semasa di kawasan pantai Tawau dan Lahad Datu.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dengan kedalaman 50 km telah berlaku di Mindanao, Filipina pada 7.37 pagi dijangka memberi kesan di kawasan Pantai Timur Sabah.

VideoBERNAMA pic.twitter.com/WrQ4f3JQzZ— BERNAMA RADIO (@Bernama_Radio) June 8, 2026

"Sila elakkan diri daripada mendekati kawasan pantai dalam tempoh masa yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga," katanya dalam kenyataan.

MetMalaysia itu turut memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi keadaan dan akan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa apabila maklumat baharu diperoleh.

Di selatan Filipina, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa serta menyebabkan kerosakan struktur yang teruk.

Polis Filipina berkata beberapa bangunan runtuh di kawasan terjejas, termasuk rumah dan premis komersial, manakala operasi menyelamat sedang dijalankan.

Menurut Stesen Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada kedalaman kira-kira 35 kilometer, sekitar 24 kilometer di barat wilayah Sarangani, Mindanao.

Rakaman video tular menunjukkan keadaan air laut di Kunak yang dilihat surut dengan ketara ketika amaran tsunami dikeluarkan bagi kawasan pesisir pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Video: Media sosial pic.twitter.com/CAVHUrZVdb— Berita Harian (@bharianmy) June 8, 2026

Video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah pusat beli-belah di General Santos City runtuh termasuk sebuah restoran Jollibee, manakala sebuah bangunan sekolah turut dilaporkan roboh akibat gegaran tersebut.

Saksi menggambarkan suasana panik apabila penduduk melarikan diri daripada bangunan yang runtuh, dengan seorang individu kedengaran menjerit bahawa sebuah bangunan telah "runtuh sepenuhnya".

Sarjan Mejar Robert Dagon dari Polis General Santos City mengesahkan bahawa "beberapa bangunan telah runtuh", sambil menambah usaha menyelamat masih diteruskan.

Beliau berkata sekurang-kurangnya seorang maut dan empat lagi cedera, namun pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah mangsa mungkin meningkat apabila penilaian lanjut dijalankan.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) turut meramal kemungkinan tsunami di kawasan pantai timur negara itu, termasuk Sulawesi, sebagai langkah berjaga-jaga.

Jepun juga mengeluarkan nasihat tsunami bagi beberapa kawasan di pesisir pantai Pasifiknya, manakala agensi serantau terus memantau aktiviti ombak di seluruh lembangan Pasifik.

Gempa bumi itu telah mencetuskan amaran meluas di beberapa negara, dengan komuniti pesisir pantai diminta terus berwaspada dan mengikuti nasihat rasmi pihak berkuasa.

Video Terkini

Berita Berkaitan