BH Online
Ringkasan Berita

Belia perlu tolak perkauman, taksub agama dan rasuah - Anwar

SUNGAI PETANI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan belia Malaysia mesti menolak perkauman, ketaksuban agama serta amalan rasuah demi menerajui negara ke arah kemajuan dengan perpaduan, keyakinan serta matlamat yang jelas.
Belia perlu tolak perkauman, taksub agama dan rasuah - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Geran Tahunan Kerajaan Kepada AIMST Universiti di Universiti AIMST. - NSTP/ Wan Nabil Nasir

SUNGAI PETANI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan belia Malaysia mesti menolak perkauman, ketaksuban agama serta amalan rasuah demi menerajui negara ke arah kemajuan dengan perpaduan, keyakinan serta matlamat yang jelas.

Perdana Menteri berkata masa depan negara bergantung kepada generasi baharu rakyat yang kekal bersatu, fokus dans bertekad untuk membina negara yang lebih kukuh.

"Ini adalah sebuah negara yang hebat.... dan kamu semua, anak-anak saya, boleh menjamin serta memastikan negara ini menjadi lebih hebat sekiranya kamu terus bersatu, fokus dan mempunyai matlamat yang jelas.

"Cukuplah dengan perkauman. Cukuplah dengan ketaksuban agama. Cukuplah dengan rasuah yang berleluasa," katanya ketika berucap kepada pelajar di AIMST University di sini, sempena penyerahan geran tahunan kerajaan sebanyak RM25 juta.

Anwar berkata golongan muda Malaysia harus menjadi kuasa yang mengubah haluan negara dan memastikan negara tidak pernah tersasar dalam usaha mencapai kemajuan serta perpaduan nasional.

Beliau menyifatkan Malaysia sebuah negara yang diberkati dengan kepelbagaian, dengan rakyat daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang hidup bersama secara aman walaupun kadangkala berlaku ketegangan dan kontroversi.

"Mungkin ada sedikit kekecohan di sana sini, tetapi negara ini tetap aman. Itulah kekuatan kita," tambahnya.

Namun begitu, Anwar menegaskan bahawa mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk memerlukan kematangan dan kebijaksanaan.

"Saya tidak mengatakan ia mudah, tetapi apa yang kita perlukan ialah kematangan dan kebijaksanaan," tegasnya.

Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin di AIMST University, selain bantuan sedia ada daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan memastikan pelajar kurang berkemampuan tidak dinafikan akses kepada pendidikan tinggi disebabkan kekangan kewangan.

Beliau juga menyorot keputusan terbaru kerajaan untuk memberikan RM100 kepada setiap pelajar sekolah menengah dan universiti bagi membeli bahan pendidikan dan buku teks.

Walaupun mengakui bantuan itu mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan, beliau menyifatkannya sebagai permulaan yang bermakna untuk menggalakkan pelajar terus melanjutkan pengajian.

Anwar berkata beliau gembira dengan sikap optimistik dan aspirasi ditunjukkan oleh pelajar, yang disifatkannya sebagai harapan terbesar negara.

Beliau menggesa mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan dan menghayati nilai perpaduan, integriti dan ketabahan.

"Kamu semua perlu menentukan masa depan negara ini. Kita mesti memimpin dengan keyakinan dan keteguhan supaya kita tidak pernah tersasar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan