BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: Antara rekod PH dalam PRU15, pengalaman BN mentadbir

PELANCARAN Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di Batu Pahat, malam Sabtu lalu memperlihatkan satu mesej cukup jelas daripada pimpinan tertinggi gabungan itu, iaitu bahawa gabungan itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak memasuki gelanggang sekadar untuk mencukupkan syarat pertandingan.
PRN Johor: Antara rekod PH dalam PRU15, pengalaman BN mentadbir

PELANCARAN Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di Batu Pahat, malam Sabtu lalu memperlihatkan satu mesej cukup jelas daripada pimpinan tertinggi gabungan itu, iaitu bahawa gabungan itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak memasuki gelanggang sekadar untuk mencukupkan syarat pertandingan.

Ucapan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, khasnya memperlihatkan satu bentuk keyakinan jitu bahawa PH mempunyai peluang agak realistik untuk memperbaiki pencapaiannya dan mencabar dominasi Barisan Nasional (BN) di Johor.

Sudah tentu ada yang akan menyatakan dalam PRN Johor pada 12 Mac 2022, PH hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 40 kerusi dimenangi BN; tiga kerusi oleh Perikatan Nasional (PN) dan satu kerusi oleh MUDA. Daripada 12 kerusi PH itu pula, 10 dimenangi DAP, satu AMANAH dan satu PKR.

Secara sepintas lalu, angka berkenaan kelihatan menunjukkan Johor ialah kubu kukuh BN dan peluang PH amat tipis. Namun, hakikat politik lebih besar tidak boleh dinilai berdasarkan satu pilihan raya semata-mata.

Apa yang sering dilupakan ialah PRN Johor 2022 berlangsung dalam keadaan kadar keluar mengundi yang sangat rendah, sekitar 54.9 peratus sahaja, antara terendah dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Ramai pengundi ketika itu tidak keluar mengundi kerana ancaman COVID-19 dan keadaan tersebut memberi kelebihan besar kepada BN.

Oleh itu, kemenangan 40 kerusi oleh BN perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukannya dianggap sebagai bukti bahawa Johor telah kembali menjadi kubu kebal BN.

Bukti paling kukuh muncul hanya beberapa bulan kemudian apabila berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022. Dalam PRU15 ini, apabila kadar keluar mengundi meningkat dengan ketara, PH muncul sebagai gabungan terbesar di Johor dengan memenangi 14 daripada 26 kerusi Parlimen. PKR memenangi tujuh kerusi; DAP lima kerusi dan AMANAH dua kerusi.

Sebaliknya BN hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen, tujuh melalui UMNO dan dua melalui MCA, manakala PN melalui BERSATU memperoleh dua kerusi dan MUDA satu kerusi. Data ini menunjukkan apabila penyertaan pengundi meningkat, landskap politik Johor menjadi jauh lebih kompetitif berbanding gambaran yang diberikan PRN 2022.

Lebih menarik lagi, PH bukan sekadar menang banyak kerusi Parlimen, malah memenangi banyak kawasan dengan majoriti yang sangat besar. Iskandar Puteri dimenangi oleh Liew Chin Tong dengan majoriti 60,036 undil; Kulai oleh Teo Nie Ching dengan majoriti 36,023 undi; Pulai oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan majoriti 33,174 undi; Pasir Gudang oleh Hassan Abdul Karim dengan majoriti 31,558 undi dan Tebrau oleh Jimmy Puah dengan majoriti 30,720 undi.

Daripada 10 majoriti terbesar di Johor dalam PRU15, sembilan daripadanya dimiliki oleh calon PH. Ini menunjukkan kewujudan asas sokongan yang besar dan kukuh kepada PH di negeri tersebut.

Namun, keputusan PRU15 tidak boleh diterjemahkan secara automatik kepada kemenangan dalam PRN. Pengundi sering membuat pertimbangan yang berbeza antara pilihan raya nasional dan negeri. Bagaimanapun, PRU15 tetap penting kerana ia membuktikan sokongan terhadap PH di Johor adalah jauh lebih besar daripada gambaran diberikan keputusan PRN 2022.

Perubahan demografi, negeri pesat

Selain itu, perubahan demografi Johor juga wajar diberikan perhatian. Johor antara negeri yang paling pesat berkembang dari sudut urbanisasi, perindustrian dan hubungan ekonomi rentas sempadan dengan Singapura.

Pertumbuhan kawasan bandar dan separa bandar, peningkatan bilangan pengundi muda serta kemunculan kelompok kelas menengah yang semakin besar menjadikan isu ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan tadbir urus lebih dominan dalam pertimbangan pengundi. Faktor-faktor ini secara tradisinya memberikan ruang yang lebih luas kepada PH untuk bersaing.

Dalam konteks inilah ucapan Anwar dan Saifuddin perlu difahami. Kedua-duanya tidak memilih untuk memainkan sentimen ketakutan atau menyerang lawan. Sebaliknya mereka menumpukan kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi, projek masa depan Johor, pembaikan sistem penyampaian kerajaan dan keperluan mengekalkan perpaduan masyarakat majmuk.

Saifuddin secara khusus menekankan PRN Johor sepatutnya menjadi medan untuk rakyat menilai siapa yang mampu membawa pelaburan, pekerjaan, pendapatan dan masa depan yang lebih baik kepada Johor, bukannya medan menyemarakkan sentimen kaum dan agama.

Hakikatnya, Johor hari ini sedang menikmati pelbagai projek strategik yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pemodenan Kompleks Sultan Iskandar dan pelbagai inisiatif pelaburan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa penglibatan aktif Kerajaan Persekutuan.

Dalam konteks pentadbiran awam, kejayaan pembangunan Johor tidak boleh dilihat sebagai hasil tindakan satu pihak sahaja. Projek strategik ini memerlukan penyelarasan yang kompleks antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi pelaksana dan sektor swasta. Justeru, pengundi berkemungkinan menilai sejauh mana hubungan baik antara kedua-dua peringkat kerajaan mampu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang nyata kepada rakyat.

Pada masa sama, persaingan antara PH dan BN dalam PRN Johor tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ancaman kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional. Sebaliknya, ia satu bentuk persaingan sihat dalam demokrasi. Kedua-dua gabungan mempunyai kepentingan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing di Johor, tetapi pada masa sama kedua-duanya berkongsi tanggungjawab dalam pentadbiran negara.

Usah anggap BN mudah ditewaskan

BN juga tidak boleh dianggap sebagai pihak yang mudah ditewaskan. Sebagai kerajaan negeri yang mentadbir Johor dalam tempoh panjang, BN mempunyai kelebihan dari sudut pengalaman pentadbiran, jentera akar umbi dan jaringan organisasi yang luas.

Namun seperti mana-mana kerajaan yang sudah lama berkuasa, BN turut berhadapan cabaran mengekalkan keyakinan pengundi terhadap status quo, khususnya dalam suasana rakyat semakin menilai prestasi kerajaan berdasarkan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan setempat dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Satu lagi faktor yang tidak boleh diketepikan ialah kedudukan PN. Dalam banyak kerusi campuran dan separa bandar, prestasi PN berpotensi menjadi faktor penentu kepada keputusan akhir.

Sekiranya PN berjaya mengekalkan sebahagian besar sokongan Melayu yang diperoleh dalam PRU15, pertandingan tiga penjuru boleh menyebabkan perpecahan undi yang mengubah keputusan di beberapa kawasan marginal.

Justeru, dinamika sebenar PRN Johor bukan sekadar persaingan antara PH dan BN, tetapi turut dipengaruhi oleh kemampuan PN mengekalkan momentumnya.

Satu lagi faktor yang sering dibangkitkan ialah kemunculan parti baharu dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli. Walaupun Rafizi seorang tokoh politik yang mempunyai pengikut tersendiri, adalah terlalu awal untuk menganggap parti baharu berkenaan sebagai ancaman besar kepada PH.

Sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa membina sebuah parti yang mampu mencabar gabungan besar memerlukan masa, struktur organisasi, jentera akar umbi, sumber kewangan dan rangkaian kepemimpinan yang kukuh. Semua perkara itu tidak boleh dibina dalam tempoh yang singkat.

Kesimpulannya, sesiapa yang hanya melihat keputusan PRN Johor 2022 dan terus membuat kesimpulan bahawa PH tidak mempunyai peluang di Johor mungkin sedang mengabaikan data lebih penting.

PRU15 membuktikan PH sebenarnya gabungan terbesar di Johor dari segi kerusi Parlimen dan memiliki beberapa kawasan yang dimenangi dengan majoriti yang sangat besar.

Namun realitinya, PRN Johor bukan lagi pertandingan yang boleh dijelaskan melalui naratif lama bahawa Johor adalah kubu mutlak mana-mana parti. BN masih mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri dan jentera yang berakar umbi, PH mempunyai asas sokongan yang terbukti melalui PRU15 serta kelebihan sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, manakala PN pula berpotensi mempengaruhi banyak kerusi marginal.

Justeru, keputusan PRN Johor kelak berkemungkinan lebih banyak ditentukan oleh kadar keluar mengundi, persepsi terhadap prestasi kerajaan, isu ekonomi semasa, perubahan demografi pengundi serta kemampuan parti-parti menawarkan hala tuju yang meyakinkan kepada rakyat Johor berbanding sentimen politik tradisional semata-mata. Atas sebab itulah, mana-mana pihak yang memandang rendah kekuatan PH di Johor berisiko melakukan kesilapan analisis yang besar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban

Video Terkini

Berita Berkaitan