KUALA LUMPUR: Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 kini melepasi sasaran awal kutipan sebanyak RM3 juta apabila berjaya mengumpul sebanyak RM3.5 juta bagi membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pencapaian itu menunjukkan keprihatinan masyarakat dan sektor korporat terhadap jasa serta pengorbanan mereka yang mempertahankan keamanan negara.
Bagaimanapun, katanya, walaupun sasaran kutipan sudah dicapai, sumbangan berterusan masih diperlukan seiring kos sara hidup yang terus meningkat dan keperluan veteran yang semakin bertambah apabila berusia.
"Alhamdulillah, sambutan daripada penderma amat menggalakkan dan walaupun menetapkan sasaran RM3 juta tetapi setakat ini kutipan sudah melebihi RM3.5 juta.
"Selain mendapat penderma menerusi larian hari ini, kita juga amat memerlukan penderma berterusan kerana veteran ini apabila sudah lanjut usia lebih memerlukan perhatian dan sumbangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program My Warriors Run 2026 sempena Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 di Dataran DBKL, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, jasa dan pengorbanan golongan veteran tidak seharusnya dilupakan kerana keamanan yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil usaha mereka menjaga keselamatan negara selama berpuluh tahun.
Justeru, katanya, kesedaran ke atas kebajikan veteran perlu terus diperkukuh supaya masyarakat tidak mengambil mudah sumbangan yang telah dicurahkan oleh golongan berkenaan.
"Kita jangan lupakan, kadangkala kita duduk selesa, tetapi mereka yang menjaga keamanan negara. Kita sama-sama doakan kebaikan mereka ketika berkhidmat dan juga selepas bersara sebagai veteran," katanya.
Terdahulu, Program My Warriors Run 2026 berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta terdiri orang ramai, murid sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), kakitangan awam dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Larian sejauh tujuh kilometer itu bermula dan berakhir di Dataran DBKL, membabitkan laluan sekitar pusat bandar raya termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan perwira negara.
























