BH Online
Ringkasan Berita

'Tersepit antara anak dan ibu bapa, i-Legasi mungkin beri nafas baharu kepada generasi sandwich'

KUALA LUMPUR: Di sebalik tuntutan kehidupan yang semakin mencabar selain kos sara hidup terus meningkat, ramai rakyat Malaysia kini terhimpit sebagai 'generasi sandwich' apabila golongan ini terpaksa membahagikan sumber kewangan dan perhatian antara anak-anak yang masih bergantung kepada mereka serta ibu bapa yang memerlukan penjagaan.
'Tersepit antara anak dan ibu bapa, i-Legasi mungkin beri nafas baharu kepada generasi sandwich'

Hos Borak Harini, Salina Zakaria (kiri) bersama EXCO Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali pada podcast bertajuk “i-Legasi mungkin dapat ringankan beban kewangan Generasi Sandwich” di Balai Berita Bangsar. - Foto NSTP/Haidatul Elyani Herman

KUALA LUMPUR: Di sebalik tuntutan kehidupan yang semakin mencabar selain kos sara hidup terus meningkat, ramai rakyat Malaysia kini terhimpit sebagai 'generasi sandwich' apabila golongan ini terpaksa membahagikan sumber kewangan dan perhatian antara anak-anak yang masih bergantung kepada mereka serta ibu bapa yang memerlukan penjagaan.

Bagi sesetengah keluarga, tekanan kewangan itu bukan lagi sekadar cabaran jangka pendek, sebaliknya menjadi komitmen berpanjangan yang memerlukan perancangan rapi bagi mengelakkan beban kewangan diwariskan kepada generasi seterusnya.

EXCO Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, berkata kajian akademik menunjukkan golongan generasi sandwich lazimnya terdiri daripada individu berusia antara 35 hingga 55 tahun yang berada di kemuncak tanggungjawab keluarga.

Katanya, kelompok ini bukan sahaja perlu memastikan keperluan anak-anak dipenuhi, malah turut menanggung kos penjagaan ibu bapa yang semakin uzur.

"Pusing ikut mana sekalipun, realiti rakyat ketika ini kita tidak boleh pisahkan dengan keadaan tersepit apabila kita wajib menyara anak-anak dan pada masa sama, ada yang terpaksa menyara ibu bapa mereka.

"Sekarang ini kita mungkin dah kena rancang pula untuk dua generasi yang atas dan yang di bawah. Ia bukan hanya untuk individu saja, (tetapi membabitkan keseluruhan institusi keluarga)," katanya ketika menjadi tetamu dalam segmen Podcast BH 'Borak Harini'.

Menurutnya, dalam banyak kajian akademik, ibu tunggal dikenal pasti sebagai antara kumpulan paling terkesan kerana perlu mengimbangi kerjaya, penjagaan anak serta kebajikan ibu bapa tanpa sokongan pasangan.

NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI makan2
EXCO Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali pada podcast Borak Harini bertajuk “i-Legasi mungkin dapat ringankan beban kewangan Generasi Sandwich” di Balai Berita Bangsar. - Foto NSTP/Haidatul Elyani Herman

iLegasi instrumen bantu keluarga

Dalam konteks ini, katanya, pelaksanaan kemudahan i-Legasi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat mampu menjadi antara instrumen membantu keluarga merancang pemindahan kekayaan secara lebih tersusun serta membolehkan pemindahan simpanan persaraan merentasi generasi.

Kemudahan i-Legasi membolehkan pencarum memindahkan sebahagian simpanan persaraan kepada ahli keluarga ketika masih hidup, sekali gus berfungsi seperti hibah tanpa perlu menunggu proses pembahagian harta selepas kematian.

Nuradli berkata, pendekatan berkenaan berpotensi memberi suntikan kewangan kepada generasi muda yang sedang membina kehidupan dan simpanan persaraan mereka.

"Ia boleh membantu generasi muda, termasuk Gen Z, supaya mereka tidak memulakan simpanan persaraan dari sifar.

"Perancangan awal itu penting. Kalau boleh seawal mungkin sebelum kita nak melegasikan kepada pewaris kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemudahan itu tidak seharusnya dilihat sebagai alasan untuk mengabaikan keperluan persaraan sendiri.

Ini kerana syarat kelayakan i-Legasi menetapkan pencarum perlu mempunyai simpanan minimum RM650,000 sebelum dibenarkan memindahkan dana kepada ahli keluarga.

Menurutnya, jumlah itu penting bagi memastikan pencarum masih mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Tiga tahap simpanan

Beliau menjelaskan terdapat tiga tahap simpanan yang boleh dijadikan panduan bagi tempoh persaraan selama kira-kira 20 tahun.

Katanya, tahap pertama ialah 'makan cukup makan' dengan simpanan sekitar RM390,000, diikuti tahap 'makan mencukupi' sebanyak RM650,000 yang dianggarkan mampu menampung perbelanjaan sekitar RM2,700 sebulan.

"Tahap ketiga ialah 'makan selesa' dengan simpanan RM1.3 juta dan ke atas bagi membolehkan seseorang menikmati kehidupan persaraan yang lebih stabil dan mewah," katanya.

NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI makan3
EXCO Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali (tengah) pada podcast Borak Hari Ini bertajuk “i-Legasi mungkin dapat ringankan beban kewangan Generasi Sandwich” di Balai Berita Bangsar. - Foto NSTP/Haidatul Elyani Herman

Disiplin perbelanjaan

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa peningkatan pendapatan tidak semestinya menjamin kestabilan kewangan sekiranya tidak disertai disiplin perbelanjaan.

Katanya, kecenderungan berbelanja secara impulsif atau 'compulsive buying behaviour', terutama melalui platform media sosial seperti TikTok, boleh menjejaskan aliran tunai dan menghakis simpanan jangka panjang.

Selain itu, kos rawatan kesihatan dan insurans yang semakin meningkat juga perlu diberi perhatian sebelum seseorang membuat keputusan memindahkan sebahagian simpanan kepada anak-anak.

"Peraturan utama sebelum menggunakan i-Legasi ialah memastikan simpanan sendiri cukup untuk menyara gaya hidup persaraan supaya tidak membebani anak-anak di kemudian hari.

"Selepas bersara, tumpuan harus diberikan kepada pendapatan pasif (seperti dividen atau sewa) memandangkan pendapatan aktif sudah tiada," katanya.

Pada masa sama, Nuradli menekankan kepentingan literasi kewangan dalam keluarga melalui amalan menyediakan bajet tahunan secara telus membabitkan pasangan dan anak-anak.

"Literasi kewangan itu kita kena cerita dekat anak-anak. Setiap keluarga memang kena buat bajet tahunan serta ketelusan (transparency) antara suami, isteri, dan anak-anak itu sangat penting.

"Kalau kita tidak ada perancangan berstruktur selepas bersara, perancangan kewangan kita pun akan jadi tak betul," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan