LARUT: "Itu cuma kata mereka sahaja," kata Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung laporan portal media mengenai beliau bakal mengambil alih Parti Cinta Malaysia.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu.
Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata, kerjasama politik bersama PAS akan menjadi antara teras utama dalam menghadapi PRN di dua negeri itu bagi memastikan agenda pembangunan serta masa depan rakyat terus diperkasakan.
Katanya, perbincangan yang sedang berlangsung ketika ini bukan tertumpu kepada kepentingan mana-mana parti semata-mata, sebaliknya menjurus kepada usaha membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.
"Buat masa kini hubungan erat yang terjalin dengan PAS akan dimanfaatkan untuk merangka pendekatan politik yang mampu menjamin kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri itu.
"Kita sedang membincangkan soal masa depan dan masa depan itu bukan bermakna untuk parti saya semata-mata, di mana kita ada sahabat seperti PAS yang juga mahu membantu menentukan masa depan rakyat Johor.
"Kita mahu memastikan segala pembangunan dan agenda masa depan itu dapat dijayakan dengan begitu baik sekali," katanya ketika ditemui di Majlis Walimatul Urus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias Al Hafiz, di Kampung Paya, di sini hari ini.
Hamzah berkata, pihaknya bersama PAS akan terus mempertahankan kepentingan rakyat dan menentang mana-mana pihak yang dilihat boleh menjejaskan kestabilan serta kedudukan dua negeri itu.
Beliau berkata, Johor dan Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil dan berwibawa bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan politik yang merugikan rakyat.
"Bersama PAS, kita akan duduk berbincang. Kalau ada kumpulan-kumpulan yang boleh merosakkan kedudukan Johor itu sendiri, kita akan tentang habis-habisan," katanya.
Menyentuh mengenai Negeri Sembilan, Hamzah menjelaskan matlamat yang dibawa adalah sama iaitu memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada politik yang memecah-belahkan masyarakat dan menggugat usaha penyatuan nasional.
Beliau berkata, rakyat hari ini mahu melihat kemunculan sebuah parti politik yang lebih matang dan bertanggungjawab, yang mampu menyatukan pelbagai kelompok masyarakat demi kepentingan negara.
Katanya, usaha itu tidak hanya membabitkan penyatuan dalam kalangan orang Melayu, malah perlu diperluaskan kepada masyarakat pelbagai kaum bagi membentuk sebuah kekuatan nasional yang lebih menyeluruh.
"Saya melihat bahawa kalau mereka benar-benar dapat duduk bersama dengan PAS, saya boleh menjadi jambatan untuk memastikan kumpulan-kumpulan ini bersatu dan bertemu. Pada masa sama, rakyat bukan Melayu juga dapat bersama-sama dalam agenda yang lebih besar untuk negara kita," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah turut membidas pihak yang mempertikaikan tempoh masa diambil untuk membuat pengumuman berkaitan parti politiknya yang sedang mendapat perhatian ramai, dengan menegaskan pihak yang benar-benar berminat sudah mengetahui perancangan terbabit.
"Orang yang bertanya itu bukan hendak menyertai saya. Orang yang mahu bersama saya sudah mendapat jawapan dan mereka tahu bila masanya," katanya.
























