DUNGUN: "Dia kelihatan sangat gembira, belanja kami dan beria-ia mahu meluangkan masa dengan kami. Dia seolah-olah tahu ajalnya akan tiba," kata Muhd Izzul Faqhriey Mohd Khairiamizan, 18, rakan kepada Wan Shafian Irfan Wan Harun, 19, yang ditemui lemas di Air Terjun Chemerong, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Wan Shafian Irfan (Irfan) pelajar sebuah institusi latihan di sini, ditemui lemas selepas lima minit mandi bersama empat rakannya di kawasan rekreasi itu.
Tak rancang mandi air terjun
Sebelum itu, Muhd Izzul berkata, mereka tidak merancang untuk beriadah di air terjun berkenaan, sebaliknya memutuskan untuk mendaki Bukit Janda Mandi di Kijal, Kemaman.
"Arwah Irfan ajak saya keluar kerana mahu meluangkan masa bersama saya disebabkan minggu hadapan saya akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
"Kami ajak tiga lagi rakan dan ketika berbincang, kami setuju untuk mendaki Bukit Janda Mandi. Kami keluar dengan menunggang motosikal ke Kijal jam 8 pagi.
"Sepanjang di Kijal arwah kelihatan sangat gembira dan beberapa kali belanja kami makanan dan 'jajan'. Saya tidak sangka sikapnya begitu seolah tahu ajalnya akan tiba," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sura, arwah Irfan tiba-tiba mengajak mereka singgah di Bukit Besi kerana dia teringin makan di sebuah kedai dekat simpang.
Katanya, disebabkan kedai makan itu tutup maka mereka ke Air Terjun Chemerong dan tiba di sana kira-kira 1 tengah hari.
"Kami baru lima minit mandi apabila Irfan menjerit minta tolong. Saya dan rakan-rakan berenang menghampirinya dan cuba menyelamatkan dia.
"Dalam kelam kabut itu, Irfan sempat tarik tangan saya dan saya jerit sekuat hati meminta pengunjung yang ada baling pelampung kepada kami," katanya.
Bagaimanapun, katanya, rakannya itu hilang daripada pandangan ketika mereka berusaha mendapatkan pelampung yang dibaling seorang pengunjung.
Dia juga memberitahu ada pengunjung yang terjun untuk menyelamatkan Irfan sebelum rakannya itu ditemui di dasar selepas beberapa kali selaman.
























