DUNGUN : Seorang pemuda ditemui lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Chemerong Hutan Simpan Pasir Raja, dekat sini, hari ini
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, Wan Shafian Irfan Wan Harun, 19, dikatakan mandi bersama beberapa rakannya di tempat kejadian.
Mangsa yang beralamat di Kuarters Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun katakan lemas sebelum dan tenggelam di kawasan air terjun itu.
Rakan mangsa dikatakan meminta tolong daripada penduduk kampung yang kemudiannya berjaya menemui mayat mangsa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Pegawai Bomba Kanan II, Osman Abdullah berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.49 petang.
Menurutnya, sebaik menerima laporan, sepasukan enam anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati mangsa iaitu seorang pemuda telah ditemui oleh orang awam.
"Anggota kami kemudiannya membawa mayat mangsa naik kedaratan sebelum menghubungi pasukan perubatan bagi mengesahkan kematian mangsa," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya.
























