BH Online
Ringkasan Berita

Ibu bapa, pendidik sambut baik penguatkuasaan umur minimum 16 tahun daftar akaun media sosial

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan syarat pengesahan umur minimum 16 tahun bagi pembukaan dan pendaftaran akaun media sosial disifatkan sebagai langkah penting untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai risiko di alam siber.
Ibu bapa, pendidik sambut baik penguatkuasaan umur minimum 16 tahun daftar akaun media sosial

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan syarat pengesahan umur minimum 16 tahun bagi pembukaan dan pendaftaran akaun media sosial disifatkan sebagai langkah penting untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai risiko di alam siber.

Tinjauan BH mendapati ramai ibu bapa, pendidik dan golongan muda menyambut baik pelaksanaan langkah itu kerana percaya penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh menjejaskan prestasi akademik.

Seorang pendidik, Hesty Djanifat, 46, meluahkan pengalamannya yang sebelum ini berdepan dengan isu ketidakhadiran pelajarnya akibat sukar bangun pagi ke sekolah kerana sibuk menghabiskan waktu sehingga awal pagi melayari media sosial.

hesty26
Pendidik, Hesty Djanifat

"Bila saya tanya kenapa tidak hadir ke sekolah, kebanyakannya memberi alasan sebab bangun lewat akibat sibuk meluangkan masa dengan `scroll' aplikasi TikTok.

"Jadi, saya risau terhadap kecenderungan mereka yang lebih gemar dengan kandungan hiburan, berbanding menumpukan perhatian kepada pelajaran bermula dengan hadir ke sekolah.

"Walaupun media sosial mempunyai sisi positif yang membolehkan mereka akses info berguna dalam talian, namun jika tiada kawalan tegas daripada ibu bapa, kemungkinan besar anak-anak mereka boleh terjebak dengan unsur negatif," katanya.

Bermula semalam, kerajaan menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang menyaksikan kanak-kanak atau remaja berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Penguatkuasaan kedua-dua kod bagi platform media sosial berlesen itu dibuat mengikut Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) 2025, sekali gus langkah penting bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak di negara ini.

CPC mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial berlesen melaksanakan ciri keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk platform serta menyediakan perlindungan yang bersesuaian dengan umur pengguna.

Mengulas lanjut, Hesty turut tidak menolak kemungkinan remaja yang sudah ketagih akan memberontak sekiranya akses mereka disekat.

"Seharusnya, ibu bapa memberi pendidikan dan pengawasan digital perlu bermula dari rumah. Saya gesa ibu bapa ambil inisiatif ini dengan memantau aktiviti anak-anak agar tidak terjebak dengan gejala sosial," katanya.

zaini26
Muhd Zaini Ibrahim

Sementara itu, Muhd Zaini Ibrahim, 50, meluahkan kebimbangannya terhadap golongan remaja sekarang yang kini sangat mahir dalam memalsukan identiti dan maklumat diri biarpun penguatkuasaan berkenaan terus dilaksanakan.

"Remaja dan kanak-kanak sekarang semakin mahir menggunakan telefon bimbit sehingga pandai memalsukan identiti disebabkan hampir hari-hari akses telefon tanpa pengawalan ibu bapa.

"Biarpun penyekatan itu dibuat, pemalsuan identiti diri boleh juga berlaku," katanya.

sulwana26
Pelajar universiti, Nur Sulwana Laila Bolqiah Mohammad Bolkiah

Pelajar universiti, Nur Sulwana Laila Bolqiah Mohammad Bolkiah, 22, juga bimbang terhadap jenayah siber seperti buli siber dan kesan negatif pada kesihatan mental remaja kini sekiranya penggunaan media sosial di bawah 16 tahun tidak dibendung.

"Saya sokong dengan tindakan itu biarpun saya tidak berasal dari negara ini. Namun, ibu bapa yang mula bertindak mengawal anak-anak daripada penggunaan media sosial, mereka perlu melaksanakannya secara beransur.

"Jangan laksanakannya dengan mengejut, buat secara perlahan atau berperingkat agar anak tidak mudah memberontak dan tertekan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan