BH Online
Ringkasan Berita

Operasi SAR Jaslinda: Pasukan bermalam dalam hutan 1,800-2,000m dari aras laut; turun ke lembah, bahagian sungai lebih mencabar

TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih di sini, 24 Mei lalu, sudah merangkumi kawasan 36 kilometer persegi.
Operasi SAR Jaslinda: Pasukan bermalam dalam hutan 1,800-2,000m dari aras laut; turun ke lembah, bahagian sungai lebih mencabar

Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) mengisi bahan api pesawat sebelum meneruskan misi SAR Jaslinda, hari ini. - FOTO BERNAMA

TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih di sini, 24 Mei lalu, sudah merangkumi kawasan 36 kilometer persegi.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak, Muzafar Mohamad, berkata operasi memasuki hari ketujuh itu juga sudah mencakupi lokasi pelbagai bentuk muka bumi termasuk puncak, lereng bukit, tebing dan kawasan sungai.

Beliau berkata, ia meliputi laluan pendakian sedia ada dan laluan di luar trek yang lazim digunakan pendaki.

"Misi SAR turut memberi tumpuan secara intensif di kawasan penemuan petunjuk berupa botol minuman dan bekas jajan yang ditemui pada Selasa lalu.

"Anggota yang ditugaskan di kawasan itu masih menjalankan pencarian sejak semalam, namun maklumat terkini sukar diperoleh berikutan masalah komunikasi.

"Lokasi pencarian berada di kawasan lembah agak dalam menyebabkan komunikasi antara pasukan di lapangan dengan pusat kawalan terputus.

"Justeru, sebarang maklumat baharu hanya dapat diperoleh selepas mereka kembali ke kawasan yang mempunyai liputan komunikasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Muzafar memaklumkan, antara lokasi utama yang menjadi fokus ketika ini dalam misi SAR wanita berusia 49 tahun itu ialah sekitar Gunung Rayu yang terletak berhampiran Kem Sukaneka.

Beliau berkata, Kem Sukaneka terletak berhampiran sumber air, dan pasukan SAR sudah menyusuri aliran sungai dari kawasan itu hingga ke bahagian yang sukar diakses.

"Kita menjejaki setiap petunjuk yang ada dan menyusuri aliran air sejauh mungkin kerana berdasarkan maklumat terdahulu, mangsa dipercayai pernah berada di kawasan berkenaan.

"Pasukan turut turun ke bahagian sungai yang lebih mencabar untuk melihat kemungkinan mangsa berada di situ," katanya.

Selain itu, beliau berkata, anggota SAR yang berada di kawasan gunung telah bermalam dalam hutan pada ketinggian antara 1,800 hingga 2,000 meter dari aras laut, untuk memudahkan operasi diteruskan tanpa perlu turun semula ke kaki gunung.

"Cuaca di kawasan operasi ketika ini juga menjadi antara cabaran apabila keadaan di kaki gunung panas, namun berkabus tebal di kawasan puncak.

"Keadaan berkabus di atas menyebabkan pergerakan pasukan sedikit perlahan dan proses membawa keluar anggota yang selesai menjalankan pencarian turut mengambil masa.

"Disebabkan itu, maklumat pergerakan terkini pasukan di lapangan agak terhad hingga mereka kembali ke lokasi yang mempunyai capaian komunikasi," katanya.

Muzafar berkata, operasi hari ini turut diperkuatkan dengan penyertaan Pasukan Khas Pertahanan Awam Malaysia (PASPA) yang menjalankan pencarian di sekitar Sungai Busok dan Pos Musoh.

Beliau berkata, kawasan baharu pencarian itu dianggarkan meliputi tambahan antara lima hingga enam kilometer persegi dan disifatkan lebih mencabar berikutan bentuk muka bumi yang sukar serta laluan lebih terpencil.

"Setiap kawasan yang dikenal pasti akan diperiksa secara sistematik, dan usaha pencarian diteruskan selagi masih ada petunjuk yang boleh membantu mengesan mangsa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jaslinda bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Namun, Jaslinda bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dikatakan mengalami masalah kesihatan dan berhenti.

Bagaimanapun, Jaslinda dilapor kemudian meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP ialah pada jam 7.30 pagi 24 Mei lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan