BH Online
Ringkasan Berita

'Operasi cari Jaslinda diteruskan, tiada keputusan henti pencarian' - KP Bomba

CYBERJAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin akan diteruskan dan tiada keputusan untuk menghentikan pencarian dibuat setakat ini.
'Operasi cari Jaslinda diteruskan, tiada keputusan henti pencarian' - KP Bomba

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin.

CYBERJAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin akan diteruskan dan tiada keputusan untuk menghentikan pencarian dibuat setakat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, berkata kira-kira 50 anggota daripada pelbagai agensi kini terbabit dalam operasi itu bagi membolehkan penggiliran petugas di lapangan dilakukan secara berterusan.

Beliau berkata, keputusan untuk meneruskan operasi dibuat berdasarkan pengalaman pasukan penyelamat serta keadaan persekitaran lokasi kejadian.

"Berdasarkan pengalaman saya, pengalaman pasukan dan keadaan sekitar, situasi operasi di kawasan gunung adalah berbeza berbanding operasi di laut.

"Justeru, kita tidak akan mengambil keputusan untuk menghentikan operasi. Pencarian masih diteruskan dan Insya-Allah akan terus dilaksanakan," katanya selepas menghadiri Program Korban Kasih anjuran Pusat Khidmat Parlimen Sepang dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JBPM di Balai Bomba Cyberjaya, di sini, hari ini.

BH305Hisham
Nor Hisham menghadiri Program Korban Kasih anjuran Pusat Khidmat Parlimen Sepang dengan kerjasama KPKT serta JBPM di Balai Bomba Cyberjaya, di Cyberjaya, hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Media sebelum ini melaporkan, Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak Sabtu lalu, kini memasuki fasa kritikal selepas tempoh kehilangannya melebihi tempoh 72 jam.

Nor Hisham berkata, mangsa dipercayai cuba mencari sumber air untuk terus bertahan dan berkemungkinan bergerak ke kawasan Sungai Ayer Busok yang terletak berhampiran Gunung Batu Putih.

Katanya, seramai 36 anggota daripada JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan di kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu dengan bantuan Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan serta Malim Gunung Perhutanan (MGP) bagi memperluaskan pencarian.

Video Terkini

Berita Berkaitan