BH Online
Ringkasan Berita

Misteri kehilangan Muhammad Hawari: ME 2023 mohon Kerajaan Nepal isytihar kematian secara rasmi

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun kehilangan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, yang hilang di kawasan Gunung Everest, pihak ekspedisi memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan surat deklarasi atau pengisytiharan rasmi kematian bagi memudahkan urusan keluarga mangsa.
Misteri kehilangan Muhammad Hawari: ME 2023 mohon Kerajaan Nepal isytihar kematian secara rasmi

Empat pendaki Everest negara (dari kanan) Azim Afif, Mohanadas, Mudita (Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia), Zainudin dan Mohamad Asyraf hadir pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 (Sagarmatha Diwas 2026) di ibu negara, semalam. - Foto NSTP/Samadi Ahmad.

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun kehilangan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, yang hilang di kawasan Gunung Everest, pihak ekspedisi memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan surat deklarasi atau pengisytiharan rasmi kematian bagi memudahkan urusan keluarga mangsa.

Chef de Mission ME 2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor, berkata permohonan itu telah disampaikan kepada wakil Kerajaan Nepal, Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya, bagi membantu keluarga Hawari terutama dalam urusan tuntutan insurans, pekerjaan dan dokumentasi rasmi.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang dokumen deklarasi kematian dikeluarkan oleh Kerajaan Nepal berhubung kehilangan pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran itu.

Katanya, melalui pertemuan yang diadakan, wakil Kerajaan Nepal bersetuju untuk membantu berhubung hasrat yang disampaikan.

"Tindakan seterusnya ialah menghantar surat rasmi kepada kerajaan berkenaan bagi mendapatkan pertimbangan dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 (Sagarmatha Diwas 2026) di ibu negara, semalam.

Pada majlis itu, empat pendaki Everest negara diraikan iaitu pendaki Malaysia Everest pertama, Datuk N Mohanadas Nagappan yang menawan puncak pada 1997, dua pendaki Projek Everest Felda 2013 iaitu Mohamad Asyraf Mohd Halim dan Zainudin Lot serta Azim Afif Ishak yang berjaya menawan Everest pada 2016.

Sambutan Hari Everest Sedunia diraikan setiap 29 Mei sempena memperingati kejayaan pendakian ke puncak tertinggi dunia itu.

Setakat ini, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya menawan Everest termasuk pendaki terbaru, Mohd Khafiz Bachok, 47, yang mencapai puncak dalam ekspedisi musim bunga pada 18 Mei lalu.

Hawari yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang ketika itu berusia 33 tahun, berjaya menawan Everest pada 19 Mei 2023 sebelum dilaporkan hilang keesokan harinya ketika berada di kawasan puncak.

Dalam ekspedisi sama, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) ketika menerima rawatan di Kem 4 pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.

Terdahulu, ME 2023 telah mengemukakan laporan perubatan kepada Kedutaan Malaysia di Nepal bagi menyokong permohonan pengisytiharan kematian Hawari.

Laporan yang disediakan Ketua Pegawai Perubatan Mountain Medical Institute, Dr Abhyu G itu memberikan pandangan profesional mengenai status Hawari berdasarkan faktor perubatan dan persekitaran di Everest.

Menurut laporan berkenaan, peluang seseorang untuk terus hidup dalam tempoh yang lama di kawasan puncak Everest adalah amat tipis kerana kawasan itu berada dalam zon yang dikenali sebagai "Zon Kematian" (Death Zone) pada ketinggian melebihi 8,000 meter, di mana kandungan oksigen atmosfera tidak mencukupi untuk menyokong kehidupan manusia secara berpanjangan.

Laporan itu turut menjelaskan bahawa walaupun dengan penggunaan oksigen tambahan, pendaki masih berdepan risiko hipoksia teruk, keletihan melampau, suhu sejuk ekstrem serta penyakit berkaitan altitud tinggi seperti Edema Serebrum Altitud Tinggi (HACE) dan Edema Pulmonari Altitud Tinggi (HAPE).

Sementara itu, Mudita berkata pihaknya menerima baik cadangan yang dikemukakan dan bersedia membantu memudahkan urusan keluarga Hawari.

"Bagi pihak Kerajaan Nepal, kami akan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya demi kebajikan semua pihak yang terlibat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan