BH Online
Ringkasan Berita

Pelarasan subsidi RON95 pilihan terakhir kerajaan, kata penasihat ekonomi PMO

KUALA LUMPUR: Sebarang langkah untuk membuat pelarasan subsidi petrol RON95 akan menjadi pilihan terakhir kerajaan susulan kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah, kata penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
Pelarasan subsidi RON95 pilihan terakhir kerajaan, kata penasihat ekonomi PMO

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Sebarang langkah untuk membuat pelarasan subsidi petrol RON95 akan menjadi pilihan terakhir kerajaan susulan kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah, kata penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini mempunyai beberapa pilihan dasar, namun bertindak secara berhati-hati memandangkan sensitiviti harga bahan api dan tekanan kos sara hidup yang lebih luas.

Nurhisham berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan yang disiarkan di YouTube semalam.

Mengulas mengenai kekurangan bekalan bahan api susulan ketidaktentuan minyak global akibat konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz, beliau berkata kerajaan sebelum ini sudah mengurangkan kuota bahan api bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, yang menurutnya hanya menjejaskan kira-kira 10 peratus pengguna di negara ini.

"Kira-kira 90 peratus pengguna bahan api di Malaysia tidak terkesan dengan kuota 200 liter RON95 itu," katanya.

Nurhisham Hussein270426
Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein. - NSTP/Fail

Pilihan naikkan harga RON95 atau kurangkan kuota

Nurhisham berkata, antara pilihan dasar yang ada kepada kerajaan termasuk menaikkan harga petrol bersubsidi daripada RM1.99 seliter kepada RM2.05 atau RM2.10, atau mengurangkan lagi kuota bulanan, yang disifatkannya sebagai 'pilihan terakhir'.

Katanya, sebarang rasionalisasi membabitkan subsidi petrol berkemungkinan ditangguhkan selama mungkin.

"Petrol adalah isu yang sangat sensitif dan memberi kesan langsung kepada poket rakyat.

"Walaupun ada pelarasan subsidi petrol, ia akan ditolak ke kemudian hari," katanya.

Harga minyak global kini stabil

Beliau berkata, walaupun harga bahan api kini sedikit reda, prospek pasaran minyak global masih tidak menentu terutama pada suku ketiga tahun ini.

Menurutnya, China ketika ini mengurangkan import minyak buat sementara waktu manakala negara pengeluar utama meningkatkan pengeluaran, sekali gus membantu menstabilkan pasaran buat sementara.

"Namun sampai satu tahap, anda tidak boleh bergantung kepada simpanan selama-lamanya. China akan mula mengimport semula dan negara lain juga perlu membina semula simpanan strategik mereka," katanya.

Julai dan Ogos tempoh 'sangat tidak selesa'

Beliau berkata, penganalisis menjangkakan Julai dan Ogos menjadi tempoh "sangat tidak selesa" untuk pasaran minyak berikutan peningkatan semula permintaan dan kekurangan bekalan fizikal yang masih berlarutan.

"Pada ketika ini, pasaran terlalu optimistik," katanya sambil menambah tiada jaminan harga bahan api akan kekal stabil antara Julai hingga September.

Nurhisham turut menyentuh usaha memperketat Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), khususnya bagi sektor logistik, dengan berkata kerajaan sebelum ini memperuntukkan subsidi diesel yang terlalu tinggi menerusi program itu.

"Kami memberi terlalu banyak ketika memulakan SKDS. Kini kami memperketatkannya untuk menjana penjimatan kerana sudah mempunyai data mencukupi untuk memahami keadaan dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan baru-baru ini turut mengumumkan peluasan Skim Subsidi Diesel (SKTS) meliputi kenderaan jenis jip dan pikap di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Trend penggunaan bahan api masih membimbangkan walaupun pelbagai langkah rasionalisasi dan inisiatif bekerja dari rumah dilaksanakan.

Menurutnya, data kerajaan menunjukkan penggunaan petrol meningkat sedikit walaupun aturan kerja fleksibel diperkenalkan dalam sektor awam.

"Kami masih cuba memahami sebabnya. Mungkin orang berjimat ketika hari bekerja tetapi lebih banyak bergerak pada hujung minggu atau cuti panjang," katanya.

Belum berjaya kurangkan penggunaan minyak

Beberapa langkah sedia ada masih belum berjaya mengurangkan penggunaan bahan api secara keseluruhan walaupun kuota dikurangkan dan rasionalisasi subsidi dilaksanakan.

"Ini juga menunjukkan rakyat Malaysia perlu mengelakkan pembaziran bukan saja dalam penggunaan bahan api, tetapi juga air dan makanan.

"Bukan sekadar tenaga, tetapi makanan dan air juga isu penting," katanya.

Nurhisham turut melahirkan kebimbangan mengenai pembaziran makanan dengan berkata walaupun Malaysia secara amnya mempunyai bekalan makanan mencukupi, sejumlah besar sayur-sayuran, ayam dan telur dibuang akibat tarikh luput.

Katanya, kesan rantaian juga boleh berlaku kepada sektor lain.

"Sebagai contoh, apabila bekalan baja terjejas, petani mungkin tidak dapat mengusahakan tanaman dengan baik dan ini mengurangkan keseluruhan hasil pertanian," katanya.

Beliau turut berkata bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan ketika ini mencukupi, dengan alternatif disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya berlaku kekurangan bekalan.

Video Terkini

Berita Berkaitan