PUTRAJAYA: Lebih 5,000 pek daging korban akan diagihkan kepada orang ramai sempena Karnival Qurban Terbesar Malaysia 2026 di Kandang Fidlot Tayyib Ranch, Kampung Sungai Kelambu, Banting, Selangor selepas solat Aidiladha esok.
Pengerusi Kumpulan Aptrasco Group merangkap Pengarah Urusan Tayyib Ranch Sdn Bhd, Dr Lui Sze Chiang, berkata 100 ekor lembu akan dikorbankan dan pihaknya menjangkakan lebih 1,000 pengunjung hadir memeriahkan karnival berkenaan.
Beliau yang juga saudara baharu berkata, karnival terbesar itu kini memasuki edisi ketiga penganjuran sejak Jumaat lalu hingga Khamis ini dengan matlamat berkongsi rezeki serta menyemarakkan penghayatan ibadat korban dalam kalangan masyarakat.
Program korban selama tiga hari bermula esok hingga Jumaat bukan sahaja menjadi platform pelaksanaan ibadah korban, malah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai latar belakang serta berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
"Daging korban ini akan diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti rumah anak yatim, tahfiz, keluarga asnaf dan warga emas dari beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Seremban dan Kuala Selangor," katanya.












