BH Online
Ringkasan Berita

20 unit tukun tiruan jenis 'kuboid juveni' dilabuhkan di perairan Rompin

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menerima sebanyak 20 unit tukun tiruan jenis ‘kuboid juvenil’ bernilai RM700,000 yang akan ditempatkan di Pulau Seri Buat perairan Rompin, September depan.
20 unit tukun tiruan jenis 'kuboid juveni' dilabuhkan di perairan Rompin

Jabatan Perikanan Pahang menerima sebanyak 20 unit tukun tiruan jenis 'kuboid juvenil' bernilai RM700,000 untuk ditempatkan di perairan Rompin. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat.

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menerima sebanyak 20 unit tukun tiruan jenis 'kuboid juvenil' bernilai RM700,000 yang akan ditempatkan di Pulau Seri Buat perairan Rompin, September depan.

Pengarahnya, Roslan Abu Hasan, berkata penggunaan tukun tiruan seberat 18 tan setiap satu itu bukan saja menjadi habitat pelbagai jenis ikan berkualiti tinggi, tetapi juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya telah mendapatkan kontraktor bagi menyediakan tukun tiruan berkenaan yang diperbuat daripada simen dan besi, kerja membuatnya dilakukan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada September.

Menurutnya, program melabuhkan tukun tiruan antara usaha di bawah Dasar Keterjaminan Makanan dilakukan Jabatan Perikanan Malaysia untuk memulihara tempat pembiakan dan habitat ikan serta memberi perlindungan pada sumber perikanan.

"Hampir setiap tahun tukun tiruan ditempatkan di perairan negeri ini dengan matlamat untuk menambahkan sumber perikanan dan pada masa yang sama menjadi penghalang atau benteng aktiviti pukat tunda di kawasan larangan kegiatan berkenaan.

"Aktiviti memancing dalam kalangan nelayan tempatan dan luar negara menjadi semakin rancak yang turut mampu diangkat sebagai produk pelancongan selain sumber pendapatan kepada penyedia bot memancing," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, dalam tempoh 12 tahun sejak 2007, pihaknya telah menempatkan sebanyak 264 unit tukun tiruan jenis 'kuboid juvenil' di perairan negeri ini.

Pada 2009, 2019, 2022 dan 2024 sebanyak 45 unit tukun tiruan ditempatkan di perairan Pulau Tioman dan projek yang diusahakan itu dijangka memberi penambahan stok sumber ikan di perairan pulau pelancongan itu.

Roslan berkata, tukun yang dilabuhkan turut dapat meningkatkan biodiversiti flora dan fauna di perairan Taman Laut Pulau Tioman yang terkenal sebagai destinasi pelancong bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, kajian dilakukan di perairan Kampung Nenasi, Pekan sebelum ini mendapati terdapat 26 spesies ikan komersial dan 28 jenis batu karang hidup dan membiak di kawasan tukun.

"Dalam tempoh 12 tahun jabatan turut melabuhkan tukun tiruan di perairan Nenasi, Sungai Miang dan Pulau Berhala di Pekan termasuk perairan CherokPaloh, Sungai Ular, Cherating di Kuantan serta perairan Rompin dan perairan Pulau Tioman.

"Setiap tahun jabatan akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menyediakan tukun tiruan pelbagai jenis dalam usaha menambah pendapatan golongan nelayan selain dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan menerusi aktiviti memancing yang sudah terkenal di perairan negeri ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan