KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak tergugat susulan dua bekas pemimpin PKR keluar parti dan mengambil alih parti baharu kata Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata secara keseluruhan parti kekal kukuh meskipun kehilangan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen pada 17 Mei lalu.
Muhammad Kamil berkata, sayap pemuda juga tidak tergugat untuk mengikut dua tokoh itu keluar parti dan menyertai parti baharu yang diambil alih Rafizi dan Nik Nazmi.
"PKR sudah melalui banyak episod, tahun 2020 ramai yang beranggapan parti akan lumpuh, tetapi fakta itu meleset dan pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 kita berjaya membentuk kerajaan.
"Kelompok orang muda juga boleh menilai dengan baik, akses maklumat dapat dilakukan semua orang, jadi kami ucapkan selamat maju jaya kepada keduanya dan terima kasih atas khidmat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Sumbangan Komputer Riba Dan Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas, di sini, hari ini.
Pelajar terbabit menerima sumbangan komputer riba dan bantuan RM1,000 untuk memasuki institusi pengajian tinggi.
Muhammad Kamil berkata, sehingga kini AMK juga tidak menerima laporan ahli lain keluar parti dengan jumlah yang ramai.
"Ada (bertindak keluar parti) tapi seorang dua sahaja, AMK masih kekal, malah ada pertambahan anggota, AMK akan terus memperkuat jentera untuk menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) dan PRU," katanya.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi bertindak keluar parti dan meletakkan jawatan masing-masing di Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Mereka kemudian turut mengumumkan ambil alih Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan berhasrat bertanding pada pilihan raya akan datang.
























