BH Online
Ringkasan Berita

Jangan cuba ternak ikan baung ekor merah di Pahang

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang kini berusaha mengesan terdapat individu yang terbabit dengan aktiviti menternak spesies ikan asing termasuk baung ekor merah yang boleh mengancam ikan tempatan di sungai utama negeri.
Jangan cuba ternak ikan baung ekor merah di Pahang

Jabatan Perikanan Pahang berusaha mengesan individu yang terbabit dengan aktiviti menternak spesies ikan asing termasuk baung ekor merah di sungai utama di Pahang. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat.

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang kini berusaha mengesan terdapat individu yang terbabit dengan aktiviti menternak spesies ikan asing termasuk baung ekor merah yang boleh mengancam ikan tempatan di sungai utama negeri.

Tindakan tegas mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Pindaan) 2024 membabitkan ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2024.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan

berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius kemunculan ikan asing di negara ini yang kini semakin bertambah, pindaan peraturan perikanan sememangnya wajar dilaksanakan dalam memastikan ikan tempatan tidak pupus serta menjaga kelestarian ikan asli dalam sungai tempatan.

Katanya, tanpa usaha bersungguh-sungguh tidak mustahil ikan baung ekor merah akan terus membiak dalam sungai utama di negeri ini seterusnya ikan tempatan termasuk udang galah akan terancam dan semakin sukar ditemui.

"Jabatan Perikanan Pahang akan melakukan pemeriksaan secara berkala projek ternakan ikan sangkar dalam memastikan kegiatan menternak ikan baung ekor merah tidak terus berlaku walaupun difahamkan spesies berkenaan mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna.

"Ikan baung ekor merah kini semakin banyak membiak dalam sungai utama di negeri ini, ia dapat dilihat menerusi pertandingan memancing yang diadakan di Sungai Pahang setiap tahun di Pekan, Temerloh, Jerantut, Raub dan Lipis," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, difahamkan sebelum ini ada pihak yang menternak ikan baung ekor merah di Pekan, permintaan menggalakkan selain harga memuaskan menyebabkan terdapat pihak yang menternak dalam sangkar secara komersial.

Roslan menambah, setiap tahun pihaknya mengadakan program kesedaran spesies ikan asing bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang impak negatif spesies ikan asing terhadap ekosistem sungai di negeri ini. Tahun ini program berkenaan bermula di Raub, Sabtu ini sebelum ke beberapa daerah lain.

Katanya, kerajaan negeri turut sama menyokong usaha membanteras spesies ikan asing yang terdapat di sungai utama di negeri ini, belanjawan setiap tahun menyediakanperuntukan besar untuk melaksanakan program kesedaran dan pertandingan memburu ikan asing bagi memberi kesedaran masyarakat terhadap usaha menjaga ekosistem sungai khususnya memulihara spesies ikan asli tempatan.

"Ikan baung ekor merah adalah spesies ikan asing dan pemangsa yang agresif kerana menjadikan semua jenis ikan dan hidupan lain sebagai makanannya.

"Sokongan masyarakat setempat termasuk nelayan darat mampu membantu mengawal penularan ikan asing, kita tidak mahu melihat ikan baung ekor merah terus membiak dalam sungai utama seterusnya mengundang berlakunya kepupusan ikan tempatan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan