KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu konflik yang dirasakan berlaku antara anak dan ibu bapa bukan faktor langsung yang menyebabkan kematian Zara Qairina Mahathir.
Pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung dalam keterangannya berkata, walaupun konflik sedemikian adalah antara faktor tidak langsung atau faktor predisposisi, ia bukan punca secara langsung.
"Faktor langsung dalam kes ini, pada pandangan saya, ialah soal siasat (terhadap Allahyarham Zara Qairina) yang memberi tekanan dan pengasingan (terhadap dirinya) pada pagi atau malam kejadian," katanya ketika dipanggil semula sebagai saksi ke-67 pada hari ke-71 inkues kematian Zara Qairina.
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada 16 Julai 2025 selepas dipanggil dan disoal siasat sekumpulan pelajar. Dia meninggal dunia keesokan harinya.
Pegawai penyelaras, Dacia Jane Romanus meneliti sama ada terdapat faktor tertentu yang menyumbang kepada kesimpulan Dr Sze Hung dalam laporan autopsi bahawa kematian Zara Qairina adalah konsisten dengan bunuh diri.
Dr Sze Hung berkata, konflik antara anak dan ibu bapa sering disalah tafsir sebagai berlaku sepanjang masa sedangkan ia boleh berlaku secara episodik.
"Psikologi adalah sesuatu yang sangat peribadi dan bergantung kepada konteks. Ia bergantung kepada bagaimana si mati melihat atau memproses episod berkenaan.
"Sebagai individu yang sensitif terhadap penolakan dan mengalami ketidakstabilan emosi, dia mungkin melihat pengalaman tertentu secara lebih negatif dan merasai kesakitan psikologi dengan lebih mendalam," katanya.
Saksi itu turut memberi keterangan bahawa si mati bergantung kepada ibunya untuk keperluan asas, hubungan dan kasih sayang.
Beliau berkata, dalam situasi yang tidak memihak, remaja akan cepat belajar bahawa meluahkan emosi negatif seperti kemarahan dan kebencian boleh memburukkan konflik serta menimbulkan ketidaksetujuan.
"Untuk terus bertahan, remaja mungkin menekan emosi dalaman dan tekanan psikologi mereka serta menampilkan imej luaran yang ceria dan patuh bagi mengurangkan konflik dan ketidaksetujuan.
"Ini dikenali sebagai pembentukan diri palsu atau tingkah laku palsu.
"Dalam konteks hubungan kekeluargaan, kesetiaan kepada ibu bapa adalah ikatan emosi yang kuat. Seorang remaja mungkin terperangkap antara keperluan asas untuk rasa dimiliki dan kesakitan psikologi kerana dia bergantung kepada ibunya untuk kelangsungan hidup, hubungan dan kasih sayang," katanya.
Selain itu, dalam konteks mekanisme pertahanan diri iaitu strategi psikologi bawah sedar untuk melindungi minda, Dr Sze Hung berkata, seseorang mungkin menggunakan mekanisme 'reaction formation'.
"Ia adalah mekanisme pertahanan apabila dorongan atau pemikiran negatif dan mengancam ditukar kepada tingkah laku yang bertentangan seperti menunjukkan kasih sayang dan keceriaan," katanya.
Ketika ditanya Dacia sama ada 'barcode' dianggap sebagai bentuk mencederakan diri sendiri, Dr Sze Hung berkata, ia adalah strategi pengawalan emosi yang tidak sihat.
"Ia digunakan untuk mengawal tekanan psikologi. Seseorang yang tidak mengalami tekanan psikologi kebiasaannya tidak akan melakukan 'barcode'," katanya.






















