KOTA KINABALU: Pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung, berkata diari milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir disifatkan lebih penting sebagai bahan bukti berbanding rakaman audio dan interaksi bersama ahli keluarga.
Beliau yang juga saksi ke 67 bagi inkues kematian Zara Qairina berkata, interaksi lisan semata-mata kurang tepat untuk menggambarkan keadaan mental dalaman seseorang.
"Adalah perkara biasa bagi remaja menyembunyikan tekanan emosi mereka. Mereka mungkin menampilkan personaliti luar yang ceria dan terdapat risiko menunjukkan personaliti palsu.
"Sebaliknya, diari adalah gambaran diri paling benar dan tulen, bebas daripada tekanan sosial, hubungan interpersonal serta penilaian orang lain. Ia adalah luahan diri yang mentah, peribadi dan tidak ditapis. Diari itu lebih material," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, hari ini.
Dr Sze Hung menjawab pertanyaan pegawai penyelaras, Dacia Jane Romanus mengenai bahan bukti paling penting pada hari ke-71 inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Saksi ke-67 yang dipanggil semula itu diberikan tiga kenyataan saksi daripada bapa saudara Zara Qairina, Abu Bakar Lamat; ibu saudaranya, Nur Shira Abdullah dan seorang lagi ahli keluarga untuk diteliti berhubung interaksi serta pandangan mereka mengenai hubungan antara Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat.
Abu Bakar, Shira dan seorang lagi ahli keluarga memberi keterangan di mahkamah pada minggu ini.
Dacia turut meminta satu rakaman perbualan telefon antara ibu dan anak itu dimainkan kepada Dr Sze Hung.
Beliau menegaskan diari sememangnya ruang selamat untuk Zara Qairina memproses emosi sebenar yang dialaminya.
"Saya ingin menegaskan semula bahawa konflik boleh berlaku secara berkala atau berpanjangan. Ia boleh berlaku sekali, berulang kali atau kronik.
"Kesakitan psikologi itu adalah nyata memandangkan ia sudah sampai ke tahap dia menginginkan kematiannya sendiri dan kematian ibu bapanya," katanya.






















