BH Online
Ringkasan Berita

'Kami hidup ketakutan, harimau belang berkeliaran di kampung sudah baham 3 lembu milik penduduk...' - Ketua kampung

KUANTAN: Penduduk di Kampung Selendang Tiga, Rompin, kini hidup dalam kebimbangan selepas harimau belang yang dikesan berkeliaran di kampung itu mula membaham ternakan lembu yang dibiar bebas dalam ladang kelapa sawit.
'Kami hidup ketakutan, harimau belang berkeliaran di kampung sudah baham 3 lembu milik penduduk...' - Ketua kampung

Kakitangan PERHILITAN Pahang memasang perangkap harimau di kawasan Kampung Sungai Mok. Foto ihsan pembaca

KUANTAN: Penduduk di Kampung Selendang Tiga, Rompin, kini hidup dalam kebimbangan selepas harimau belang yang dikesan berkeliaran di kampung itu mula membaham ternakan lembu yang dibiar bebas dalam ladang kelapa sawit.

Sejak kemunculan harimau itu beberapa minggu lalu, tiga lembu milik penduduk mati dibaham haiwan itu dengan kes terbaru berlaku kelmarin apabila seekor lembu jantan ditemui mati dalam ladang kelapa sawit dengan kesan gigitan pada leher dan badan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selendang, Adnan Mohamad, berkata ancaman harimau belang di Selendang Tiga dan kawasan sekitarnya berlaku sejak Januari lalu hingga kini.

Beliau berkata, sebelum ini 12 lembu milik penduduk Kampung Selendang Tiga dan Lima menjadi korban harimau itu keluar mencari makan pada waktu malam.

Katanya, kemunculan haiwan liar itu yang sebelum ini dipercayai menjadikan Hutan Simpan Endau-Rompin sebagai kawasan habitat semula jadinya, adalah kali kedua berlaku sejak Kampung Selendang dibuka.

"Pembukaan hutan berskala besar bagi projek pertanian, selain kawasan lembu berkeliaran berhampiran hutan menjadi faktor utama kemunculan harimau belang itu di kampung kami.

"Ada lebih 10 penternak lembu di Kawasan Kampung Selendang membabitkan kira-kira 4,500 lembu yang dibiarkan bebas meragut dalam kawasan ladang kelapa sawit.

"Setiap penternak mempunyai kawasan keliaran masing-masing dan setiap hari mereka memantau haiwan peliharaan.

"Pada minggu lalu, harimau sama dipercayai mengganas di kawasan penempatan Orang Asli Kampung Sungai Mok yang terletak bersebelahan Kampung Selendang Tiga, malah ada penduduk Orang Asli terserempak dengan haiwan liar itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Adnan berkata, perangkap dengan umpan kambing milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang yang sebelum ini dipasang di kawasan hutan Kampung Selendang Tiga kini dipindahkan ke kawasan Kampung Sungai Mok.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan PERHILITAN akan menempatkan satu lagi perangkap di Kampung Selendang Tiga dalam waktu terdekat, dalam usaha menangkap harimau itu.

"Sebelum ini PERHILITAN turut memasang kamera di lokasi berhampiran perangkap untuk mengesan jumlah harimau itu, seterusnya bagi membantu menentukan keadaan fizikalnya serta laluan utama dalam hutan.

"Kita tidak menolak kemungkinan harimau yang muncul di Kampung Sungai Mok pada minggu lalu, kini berada di kawasan hutan Kampung Selendang Tiga yang membunuh tiga lembu milik penduduk setempat.

"Penduduk mendakwa terdapat lebih seekor haiwan terbabit berkeliaran sejak awal tahun ini, menyebabkan kami bimbang untuk keluar malam dan bekerja di ladang sawit," katanya.

Adnan berkata, mereka khuatir kejadian tidak diingini berlaku, walaupun sebelum ini harimau itu hanya menyerang ternakan, namun tidak mustahil beralih kepada manusia jika keadaan terdesak.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Yusoff Shariff berkata, pihaknya mengambil tindakan memasang perangkap bagi menangkap harimau belang yang membaham lembu milik penternak Kampung Selendang Tiga dan Lima termasuk Sungai Mok.

Katanya, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan ancaman haiwan ganas itu dapat diatasi segera.

Video Terkini

Berita Berkaitan