KOTA KINABALU: Seorang ahli keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner, di sini bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan insiden yang membawa kematian pelajar Tingkatan Satu itu di asrama sekolahnya, tidak akan disembunyikan.
Bapa saudara Allahyarham, Abu Bakar Lamat, 47, memberitahu demikian ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Hassan pada inkues kematian pelajar berusia 13 tahun berkenaan, hari ini.
Katanya, jaminan itu diberikan Menteri Pendidikan pada pertemuan dengan keluarga mereka di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini pada 17 Julai tahun lalu selepas isterinya memberitahu mengenai dakwaan kejadian buli di sekolah Allahyarham dan meminta siasatan dijalankan secara telus.
"Menteri Pendidikan memaklumkan kes ini tidak akan disembunyikan, namun pihak sekolah diarah untuk tidak memberikan sebarang maklumat, termasuk kepada waris kerana siasatan polis masih berjalan," katanya.
Saksi itu memberitahu, pada pertemuan dengan Fadhlina di sebuah bilik khas ketika mereka menunggu permit bagi menuntut jenazah arwah di Bahagian Forensik, Aras G HQE, menteri itu turut memberi kata-kata semangat dan sumbangan peribadi kepada keluarga Zara Qairina.
Abu Bakar juga memaklumkan, adiknya, Noraidah, iaitu ibu Allahyarham berada dalam keadaan trauma dan sangat sedih sepanjang anak saudaranya itu dirawat di hospital serta tidak dapat menerima kehilangan Zara Qairina yang berlaku secara mengejut.
Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah, berdasarkan pemerhatiannya, hubungan Noraidah dan anak perempuannya itu sejak arwah masih kecil sehinggalah insiden terbabit tiada sebarang masalah, sangat baik dan rapat.
"Zara kelihatan sangat selesa bersama ibunya, hubungan mereka lebih seperti sahabat rapat. Zara sering berkongsi cerita dan masalah dengan ibunya. Saya tak pernah lihat pertengkaran serius antara mereka, juga tak pernah lihat Zara takut, membenci atau menjauhkan diri daripada ibunya," katanya.
Mahkamah juga diberitahu bahawa Noraidah sentiasa menegur dan mendidik Zara Qairina secara lembut serta penuh kasih sayang, selain memastikan apa sahaja keperluan dan kehendak remaja itu dipenuhi sedaya-upaya.
Katanya, beliau tidak pernah melihat adiknya mengabaikan Zara Qairina atau melayan Allahyarham dengan cara tidak wajar dan keadaan remaja itu selepas masuk sekolah menengah serta tinggal di asrama sangat gembira kerana mendapat pengalaman baharu dan ramai kawan.
Abu Bakar berkata, arwah ada berkongsi pengalaman di sekolah dengan beliau, termasuk aktiviti bersama rakan-rakan, makan bersama dan pengalaman di asrama serta perkara yang tidak disenanginya.
"Zara juga pernah berkongsi dia marah dan tidak selesa kerana seorang kawan menyentuhnya semasa dia sedang tidur. Zara juga pernah beritahu dia dan rakan-rakan disuruh turun ambil air panas di tingkat bawah asrama pada tengah malam untuk makan ramen bersama-sama.
"Pada pemerhatian saya, perkara-perkara yang diceritakan oleh Zara lebih berkaitan dengan sekolah dan rakan-rakan, bukan berkaitan keluarga," katanya menambah, anak saudaranya itu juga tidak pernah memberitahu tidak disayangi atau takut kepada ibunya.
"Saya juga tidak pernah melihat Zara mengalami tekanan serius berkaitan keluarganya," tambahnya.
Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai tahun lalu akibat kecederaan otak traumatik yang teruk selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi sehari sebelum itu.
























