CAMERON HIGHLANDS: Sisa pertanian seperti botol racun dan plastik paling banyak ditemukan dalam Sungai Bertam dan Sungai Burung di kawasan Hutan Simpan Ulu Bertam, di sini menerusi operasi bersepadu pembersihan, kelmarin.
Secara keseluruhan, lebih lapan tan sisa membabitkan pelbagai jenis sampah dibawa keluar dari dua sungai berkenaan dalam operasi terbabit.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata sisa pertanian seperti botol racun dan plastik dipercayai dibuang oleh pengusaha kebun sayur secara berterusan ke dalam dua sungai itu.
"Tindakan itu mengundang pencemaran seterusnya menjejaskan imej Taman Eko Rimba (TER) Parit Falls yang menjadi antara produk pelancongan terkenal di daerah ini. Kita berdepan kesukaran untuk angkat dan kumpul sampah yang tersangkut pada kayu selain mendap di dasar sungai.
"Keadaan tebing sungai yang curam menyukarkan lagi usaha memindahkan pelbagai jenis sampah. Sungai Bertam dan Sungai Burung seolah-olah tong sampah buat pengusaha kebun sayur yang tidak bertanggungjawab.
"Apabila hujan lebat berterusan, keadaan sungai yang dipenuhi sampah sarap boleh mengundang kejadian banjir kilat apabila aliran air sungai tidak lancar," katanya ketika dihubungi.
Operasi membersih dua sungai itu disertai 15 kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengumpul sampah secara manual sebelum diangkat dan dipindahkan menggunakan jengkaut.
Program julung kali anjuran PHD Cameron Highlands itu selaras titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada mesyuarat Transformation Taskforce Cameron Highlands sebelum ini untuk membanteras aktiviti membuang sampah dalam hutan simpan kekal selain untuk mengembalikan keadaan sungai kepada keadaan asal.
Nasrul Akmal berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di kawasan panas pembuangan sampah di dua sungai terbabit
"Individu yang ditahan membuang sampah dalam hutan simpan kekal boleh didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan Seksyen 83 atas kesalahan membuang sampah di dalam hutan simpan kekal.
"Pada Disember lalu, kita mengadakan Ops Cuci di empat tapak pelupusan sampah haram dalam kawasan hutan simpan kekal di daerah ini. Lebih 30 tan sisa pertanian dan pelbagai jenis sampah dipindahkan.
"Tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda kerana melupuskan sisa pertanian dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Terla di Kuala Terla.
"Saya juga berharap mendapat kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan kepada PHD Cameron Highlands sekiranya melihat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dalam hutan simpan kekal," katanya.























