BH Online
Ringkasan Berita

Zara Qairina beritahu 'baba' sudah lama tidak lawat, hubunginya - Saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa Mahathir Mohd Hashim sudah lama tidak melawat atau menghubungi anak perempuannya, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Zara Qairina beritahu 'baba' sudah lama tidak lawat, hubunginya - Saksi

Nur Shira (tengah) bersama Noraidah ketika hadir pada hari ke-69 prosiding inkues kes kematian Zara Qairina, di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa Mahathir Mohd Hashim sudah lama tidak melawat atau menghubungi anak perempuannya, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Saksi ke-71 inkues kes kematian Zara Qairina, Nur Shira Abdullah, berkata meskipun ibu bapa Zara Qairina, Mahathir dan Noraidah Lamat masih suami isteri, pasangan itu sudah tidak tinggal bersama sejak arwah berumur tiga atau empat tahun.

"Saya tidak tahu mengapa mereka tidak tinggal sebumbung. Saya cuma tahu dia (Mahathir) berada di Sabah.

"Setakat yang saya tahu, bapa Zara pernah berkahwin dan bercerai sebelum bernikah dengan ibu Zara," katanya.

Nur Shira, 46, yang juga kakak ipar Noraidah dari Kuala Lumpur, berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali kes, Mohd Fairuz Johari, pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi itu sekali gus memaklumkan bahawa Noraidah tidak pernah berkahwin selain dengan Mahathir.

Katanya, Zara Qairina mempunyai dua beradik tiri di mana arwah hanya pernah berjumpa dengan yang sulung ketika dia berumur lapan bulan.

Sementara itu peguam, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili Mahathir pula bertanya Nur Shira sama ada Zara Qairina ada berkomunikasi dengan bapanya.

Nur Shira berkata, arwah pernah memberitahu beliau bahawa 'baba' (panggilan Zara Qairina kepada bapanya) sudah lama tidak melawat atau menghubunginya.

"Perbualan itu berlaku di dalam sebuah kereta ketika saya membawa Zara ke Lawas.

"Saya tidak ingat tarikhnya yang sebenar, namun ia adalah ketika cuti Hari Raya pada 2025," katanya.

Terdahulu, saksi itu memberitahu peguam, Joan Goh, bahawa beliau hanya bertemu Zara Qairina ketika cuti, dan lazimnya mengikuti perkembangan arwah melalui perbualan telefon dengan Noraidah atau media sosial Zara Qairina.

Nur Shira berkata, Zara Qairina pernah ke Kuala Lumpur sebelum 2020 untuk melawat keluarga beliau, dan sekali lagi pada Aidilfitri tahun lalu.

Dalam pada itu, katanya, beliau hanya mengetahui perihal kewujudan diari Zara Qairina dan 'barcode' milik arwah ketika inkues bermula pada September tahun lalu.

Goh mewakili seorang daripada lima kanak-kanak yang dituduh menghina Zara Qairina secara lisan.

Inkues bersambung esok bersama dua saksi lain, abang dan anak saudara Noraidah.

Video Terkini

Berita Berkaitan