BH Online
Ringkasan Berita

Saksi nafi mahu pihak sekolah, polis dipersalahkan atas kematian Zara Qairina

KOTA KINABALU: Kakak ipar kepada ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Nur Shira Abdullah, menafikan beliau mahu pihak sekolah dan polis dipersalahkan atas insiden kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Saksi nafi mahu pihak sekolah, polis dipersalahkan atas kematian Zara Qairina

Nur Shira (tengah) bersama Noraidah ketika hadir pada hari ke-69 prosiding inkues kes kematian Zara Qairina, di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

KOTA KINABALU: Kakak ipar kepada ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Nur Shira Abdullah, menafikan beliau mahu pihak sekolah dan polis dipersalahkan atas insiden kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Nur Shira, 46, yang juga saksi ke-71 inkues kes kematian Zara Qairina, berkata demikian ketika disoal oleh pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari, pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Sebaliknya, Nur Shira berkata, beliau hanya mahu siasatan kes berkenaan dijalankan secara telus.

Mohd Fairuz: Adakah kritikan puan terhadap pegawai penyiasat dan sekolah adalah kesan daripada keadaan emosi puan yang terganggu akibat kejadian itu?

Nur Shira: Tidak. Saya tidak mengkritik. Saya hanya mahukan siasatan yang telus.

Mohd Fairuz: Pada pandangan puan, adakah siasatan polis ini tidak telus?

Nur Shira: Ya. Biasanya, seorang pegawai polis yang mengambil laporan orang awam, pasti akan menulis sambil mendengar laporan yang diadukan tetapi pegawai penyiasat terbabit tidak berbuat demikian.

Beliau yang bekerja sendiri dalam bidang makanan berkata lagi: "Laporan adalah sesuatu yang harus ditulis, bukan seperti sembang di kedai kopi."

Mohd Fairuz: Apa maksud puan, apabila laporan dibuat kepada pegawai penyiasat tetapi tidak ditulis?

Nur Shira: Pegawai itu hanya mendengar tanpa menulis atau menaip laporan terbabit. Laporan berkenaan ialah mengenai Pengetua didakwa menghalang ibu Zara membuat laporan polis.

Menjawab soalan Mohd Fairuz sama ada beliau mengetahui beban tugas pegawai polis ketika itu, Nur Shira berkata: "Bukan tugas saya untuk mengambil tahu."

Ditanya sama ada mengetahui prosedur operasi standard (SOP) siasatan polis pula, saksi itu berkata, beliau mengetahui asasnya.

"Apabila kita membuat laporan polis, pertama sekali pegawai polis akan menunjukkan satu kad kuasa beliau, memperkenalkan dirinya dan bersedia mengambil setiap laporan diadukan, iaitu beliau akan menulis atau menaip setiap kata-kata aduan.

"Selepas siap aduan, pasti seorang pegawai polis akan menyuruh kita membacanya semula," katanya.

Dalam pada itu, Nur Shira berkata, kali pertama dirinya bersama ibu arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat, membuat laporan polis terhadap Pengetua sekolah berkenaan ialah pada 20 Julai 2025, sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur pada hari sama.

Ditanya sama ada emosinya menjejaskan pemerhatian beliau terhadap mayat Zara Qairina ketika di Hospital Queen Elizabeth pula, Nur Shira berkata: "Tidak. Apabila emosi saya reda sedikit, saya bertawakal, berserah kepada Allah SWT. Apabila saya tenang, barulah saya perhatikan. Tidak ada kelam-kabut.

Nur Shira turut mengaku beliau tidak memiliki sebarang latihan dalam bidang perubatan atau teknikal.

Video Terkini

Berita Berkaitan