KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu mengenai kesan kecederaan dan lebam yang ditemui di tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika arwah dirawat dan pengurusan jenazahnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada 17 Julai tahun lalu.
Kecederaan itu dilihat oleh saksi yang memberi keterangan pada inkues kematian Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, hari ini, Nur Shira Abdullah, 46 yang juga kakak ipar ibu arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Dalam keterangan bertulisnya, Nur Shira yang juga ibu saudara arwah Zara Qairina menceritakan apa yang dilihatnya bermula dari bahagian kepala hingga kaki dan penjelasan doktor mengenai kecederaan yang dialami arwah.
"Semasa melihat Zara di hospital dan pengurusan jenazah, saya ada memerhatikan keadaan fizikal arwah. Pada bahagian kepala terdapat kawasan rambut yang dicukur namun saya tidak melihat luka terbuka besar atau kesan jahitan.
"Pada bahagian kepala sebelah kiri berhampiran kawasan rambut yang dicukur, apabila saya menyentuhnya, saya merasakan keadaan seperti lembik dan berair di bahagian dalam kepala.
"Pada bahagian belakang badan, saya melihat kesan lebam yang jelas terutama di kawasan rusuk dalam bentuk garis panjang dari pinggang hingga ke bahu dan lebam tersebut kelihatan berwarna biru kehitaman.
"Saya juga melihat kesan lebam halus seperti urat yang menjalar di bahagian belakang badan. Bahagian tangan dan kaki kiri Zara dibalut oleh pihak hospital dan saya mendapati tubuh Zara kelihatan kekuningan.
"Saya tidak melihat tulang kaki yang terkeluar secara luaran namun saya melihat keadaan buku lali yang kelihatan terkehel," katanya.
Nur Shira yang menetap di Kuala Lumpur, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan oleh Noraidah mengenai insiden menimpa Zara Qairina melalui aplikasi WhatsApp pada jam 10.20 pagi, 16 Julai tahun lalu sebelum segera membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu.
Nur Shira menerangkan ketika di hospital, beliau ada bercakap dengan seorang doktor wanita bertugas di wad yang menjelaskan kepadanya mengenai keadaan kecederaan Zara Qairina berdasarkan laporan perubatan yang dibacanya.
Katanya, ia termasuk kecederaan serius pada bahagian kepala, kerosakan teruk pada tengkorak dan keadaan otak yang tidak lagi berfungsi.
"Doktor juga menerangkan kemungkinan terdapat kerosakan pada saraf tunjang belakang akibat impak yang kuat, patah pada tulang dan kaki serta kecederaan pada buku lali kiri.
"Doktor itu turut memaklumkan kemungkinan berlaku pendarahan dalaman yang teruk sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ," katanya.
Beliau berkata, doktor terbabit menjelaskan kepadanya bahawa prosedur CPR atau tekanan dada untuk membantu pernafasan dan edaran darah serta penggunaan mesin kejutan elektrik jantung tidak dapat dilakukan kerana keadaan pesakit ketika itu sangat kritikal.
Katanya, ia disebabkan keadaan pembengkakan yang teruk dan prosedur itu tidak sesuai serta tidak memberi manfaat kepada pesakit pada ketika itu.
Sementara itu, ketika tiba di HQE pada 17 Julai tahun lalu, Nur Shira berkata beliau melihat arwah Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal sebelum dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan Zara sangat serius dan berada dalam keadaan 'mati otak'.
"Zara dipantau menggunakan mesin bantuan pernafasan dan mesin pemantauan jantung. Namun, pada jam lebih kurang jam 1 tengah hari, mesin pemantauan jantung terpadam secara tiba-tiba dan saya memaklumkan perkara tersebut kepada jururawat.
"Jururawat kemudian datang dan memeriksa keadaan tersebut serta memaklumkan pemantauan akan dilakukan dari kaunter depan. Doktor ada datang memeriksa Zara tetapi tidak memberikan penjelasan khusus kepada saya ketika itu," katanya.
























