BH Online
Ringkasan Berita

Rakaman perbualan telefon Zara Qairina dengan ibu dimainkan di mahkamah

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, mendengar rakaman perbualan telefon antara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dengan ibunya, Noraidah Lamat.
Rakaman perbualan telefon Zara Qairina dengan ibu dimainkan di mahkamah

Pegawai pengendali kes, Mohd Fairuz Johari (dua dari kiri) bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya dalam inkues kes kematian Zara Qairina, di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, mendengar rakaman perbualan telefon antara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dengan ibunya, Noraidah Lamat.

Peguam, Shahlan Jufri, memainkan beberapa rakaman audio diekstrak daripada telefon bimbit Noraidah pada prosiding inkues yang sudah memasuki hari ke-68 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Daripada keseluruhan jumlah 42 rakaman audio terbabit, Shahlan memainkan rakaman bernombor 1, 4, 7, 8, 22, 23 dan 31.

Rakaman berkenaan mengandungi perbualan mengenai Zara Qairina tidak dapat pulang ke rumah serta terpaksa tinggal di asrama sekolah, selain berhubung rakan-rakan, keputusan peperiksaan dan kes curi di sekolah.

Dalam rakaman audio ke-31, Noraidah didengar mengingatkan anaknya itu supaya berhati-hati dengan pencuri yang mungkin meletakkan wang dicuri ke dalam almari atau begnya, dan juga agar Zara Qairina menjaga barang sendiri.

Zara Qairina menjawab dengan memberitahu ibu bahawa dia juga ingin mengetahui siapa pencuri itu, berikutan pelajar senior mengesyaki pelajar Tingkatan Satu.

Shahlan yang mewakili Noraidah, turut bertanya Asisten Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan sama ada rakaman audio yang dimainkan di mahkamah itu boleh dikategorikan sebagai 'verbatim' dan tulen.

Mohd Zaidi yang juga saksi ke-70, bersetuju dengan kedua-dua perkara berkenaan.

Shahlan: Selepas mendengar beberapa (rakaman) audio, adakah rakaman panggilan telefon terbabit asli atau tulen?

Mohd Zaidi: Mengikut pengalaman saya, rakaman terbabit adalah tulen.

Shahlan: Adakah ketika membuat analisis ke atas barang kes, WF11 (milik Noraidah), rakaman perbualan berkenaan pernah diekstrak oleh tuan?

Mohd Zaidi: Saya hanya mengekstrak perbualan daripada WhatsApp, dan rakaman perbualan ini tidak dapat diekstrak menerusi perisian analisis saya.

Shahlan: Boleh tuan jelaskan kepada mahkamah, rakaman perbualan tidak dapat dikeluarkan?

Mohd Zaidi: Rakaman yang dapat saya keluarkan melalui audio WhatsApp... rakaman suara panggilan ini saya tidak jumpa daripada hasil analisis saya.

Shahlan: Untuk kepastian, tidak jumpa disebabkan analisis tuan terhad kepada audio WhatsApp dan audio daripada media sosial yang lain?

Mohd Zaidi: Ya

Mohd Zaidi memaklumkan sekiranya 42 rakaman audio itu diberikan kepadanya, ia akan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk selesai dianalisis, bergantung pada saiz fail terbabit.

Saksi itu yang dipanggil semula, hari ini, telah menjalankan analisis ke atas 15 telefon bimbit, termasuk milik Noraidah, bagi mendapatkan data berkait media sosial, visual, mesej WhatsApp, rekod verbatim, gambar dan foto yang sudah dipadamkan sepanjang tempoh antara Februari 2025 hingga telefon berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Inkues dijadualkan bersambung esok dengan keterangan oleh saudara-mara Noraidah.

Video Terkini

Berita Berkaitan