PORT DICKSON: Tentera Darat membuat beberapa syarat tambahan bagi pengambilan anggota Tentera Darat yang baharu bagi menambah baik kualiti perkhidmatan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, berkata ia termasuk tahap usia sehingga 30 tahun berbanding 27 tahun sebelum ini.
"Dengan syarat dan kemudahan baru ini menyebabkan pertambahan 10 hingga 20 peratus setiap kali pemilihan bagi menjalani latihan sebagai Perajurit Muda.
"Soal ketinggian pula, kita juga merendahkan tahap ketinggian kepada 157 sentimeter (sm) tinggi berbanding 162 sm sebelum ini dan syarat Indeks Jisim Badan (BMI) untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara umumnya ditetapkan antara 18 hingga 27.9 bergantung kepada cabang perkhidmatan dan jenis pengambilan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.
Azhan berkata, Tentera Darat tidak mengurangkan kualiti anggota tetapi mengambil kira tahap kepakaran atau kebolehan anggota, termasuk dibenarkan mereka yang memakai kacamata.
"Walaupun syarat kemasukan anggota perajurit muda ini dilonggarkan, tetapi ia mengambil kira penambahbaikan dari segi kebolehan bidang teknikal.
"Tentera Darat turut mementingkan elemen latihan yang menekankan pembinaan jati diri ketenteraan, ketahanan fizikal dan mental serta pemupukan nilai disiplin, keyakinan diri dan kompetensi sebagai seorang anggota tentera profesional," ujarnya.
Azhan berkata, untuk pengambilan siri kali ini, seramai 1,236 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan.
"Seperti biasa latihan Perajurit Muda dirangka sebagai platform asas dalam membentuk anggota yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing sebelum diserap ke dalam Kor atau Rejimen mengikut kepakaran masing-masing.
"Sepanjang latihan enam bulan ini, pelatih didedahkan dengan pelbagai elemen latihan yang menekankan pembinaan jati diri ketenteraan, ketahanan fizikal dan mental, serta pemupukan nilai disiplin, keyakinan diri dan kompetensi sebagai seorang anggota tentera profesional," katanya.
Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, disandang Perajurit Muda Muhammad Khairul Faris Latif, 20, yang berasal dari Kuala Lumpur.
Beliau akan diserapkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Perajurit Muda Veiter Mark Pindah, 23, dari Kota Kinabalu, Sabah dipilih sebagai Perajurit Muda Lelaki Ketenteraan Terbaik.
Anak ketiga daripada empat beradik ini berkelulusan Diploma Undang-Undang dan diserapkan ke Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).
Bagi Kategori Kawad Terbaik disandang Perajurit Muda Muhammad Sufi Salim, 22, yang berasal daripada Kuala Terengganu.
Anak bongsu dari enam beradik ini memperoleh keputusan terbaik secara keseluruhan dalam Ujian Kawad Kaki dan Senjata.
Beliau akan diserapkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Bagi Kategori Akademik Terbaik disandang Perajurit Muda Augustine Dris Anak Jabat, 23, yang berasal dari Debak, Sarawak.
Anak sulung dari tiga beradik ini berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan diserapkan ke Rejimen Artileri Diraja (RAD).
Perajurit Muda Muhammad Adam Harris Rusli, 19, yang berasal dari Kuantan, Pahang pula menyandang kategori Jasmani Terbaik berdasarkan keputusan ujian jasmani.
Anak bongsu dari tiga beradik ini akan diserapkan ke Kor Risik Diraja (KRD).
























