BH Online
Ringkasan Berita

Parti Gagasan Rakyat Sabah pinda perlembagaan, ubah jumlah bahagian daripada 73 kepada 26

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menjadi tunjang kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meminda perlembagaannya untuk menjadikan 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan sebagai bahagian parti itu.
Parti Gagasan Rakyat Sabah pinda perlembagaan, ubah jumlah bahagian daripada 73 kepada 26

Hajiji (tengah) bersama kepimpinan parti Gagasan Rakyat pada Persidangan Agung Khas parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menjadi tunjang kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meminda perlembagaannya untuk menjadikan 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan sebagai bahagian parti itu.

Sebelum ini, parti pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor itu menggunakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di 73 kawasan di Sabah sebagai bahagian, manakala Labuan satu-satunya kawasan Parlimen yang menjadi bahagian parti itu.

Bercakap kepada media selepas Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat, di sini, hari ini, Hajiji berkata langkah itu selaras dengan persiapan jentera Gagasan Rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan.

"Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, menyusun strategi parti dan mengemaskan jentera mengikut Parlimen. Kebetulan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen, jadi ini amat sesuai dengan pindaan yang kita buat ini," katanya.

Mengenai kerjasama dengan parti lain, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata pihaknya akan melihat seluas-luasnya kemungkinan itu jika ia boleh mendatangkan kebaikan kepada negeri dan perpaduan rakyat.

Terdahulu, dalam ucaptamanya sempena Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat bagi meluluskan pindaan perlembagaan parti itu, Hajiji berkata ia adalah langkah penstrukturan penting bagi memperkukuh kedudukan Gagasan Rakyat di semua bahagiannya di Sabah dan Labuan.

Katanya, langkah itu juga bagi memastikan bahagian yang kecil dan kurang aktif dapat disatukan untuk menjadi lebih besar dan kuat, selari dengan usaha menjaga kestabilan politik dan kerajaan negeri.

"Sebagai presiden parti, saya yakin keputusan ini tepat, perlu dan bertanggungjawab kerana kalau kita mahu Gagasan Rakyat terus memimpin, parti kita tidak boleh sekadar kelihatan besar pada nama atau jumlah bahagian yang banyak semata-mata. Kita kena pastikan parti kita tersusun rapi, sentiasa bergerak sebagai satu pasukan, dan jelas arah perjuangannya.

"Selama ini, kita mempunyai 74 bahagian mengikut kawasan DUN, termasuk Labuan. Di atas kertas, ia nampak besar, nampak gah dan nampak lengkap tetapi realitinya, tidak semua bahagian bergerak pada tahap yang sama.

"Ada Bahagian yang gerak kerjanya sangat aktif, cawangannya hidup, ahlinya ramai, namun ada juga bahagian yang cawangannya kecil, keahliannya nipis dan kekuatan jenteranya belum mencapai tahap yang diperlukan," katanya.

Presiden Gagasan Rakyat itu berkata persidangan khas itu adalah satu titik penting dalam perjalanan parti pimpinannya untuk melaksanakan satu keputusan besar diputuskan Majlis Tertinggi parti, demi masa depan Gagasan Rakyat.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan setelah melihat realiti politik semasa, kekuatan organisasi Gagasan Rakyat, kesiapsiagaan jentera dan tanggungjawab sebagai parti yang memimpin kerajaan negeri.

"Majlis Tertinggi telah melihat perkara ini secara jujur dan matang. Kalau struktur lama tidak lagi memberikan kekuatan yang optimum, maka struktur itu mesti disusun semula.

"Terus terang saya katakan, sesebuah parti tidak boleh dipimpin hanya dengan semangat emosi dan perasaan kerana akhirnya, parti kita bukan sekadar mahu wujud, parti kita ini mesti cukup kuat atau bertahan, cukup tersusun atau bergerak ke hadapan, diyakini dan memimpin serta cukup bersatu untuk terus memenangi kepercayaan rakyat.

"Maka atas sebab itu pindaan ini diputuskan, bukan untuk menafikan jasa sesiapa atau mengenepikan pengorbanan sesiapa tetapi untuk memperkukuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah," katanya.

Hajiji mengakui tindakan penstrukturan parti itu daripada 74 bahagian kepada hanya 26 bahagian Parlimen, termasuk Labuan, pasti ada perubahan kedudukan, cara dan susunan gerak kerja parti.

Video Terkini

Berita Berkaitan