BH Online
Ringkasan Berita

Saringan kesihatan PERKESO: 59.2 peratus pekerja di Malaysia obesiti, 19 peratus diabetes dan lebih 59 peratus ada masalah kolesterol

KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan golongan pekerja di Malaysia mendedahkan realiti membimbangkan apabila 59.2 peratus pekerja disaring didapati mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Saringan kesihatan PERKESO: 59.2 peratus pekerja di Malaysia obesiti, 19 peratus diabetes dan lebih 59 peratus ada masalah kolesterol

Pengajuran PERKESO Run and Ride 2026 yang memasuki edisi kesembilan tahun ini menerima penyertaan terbesar 12,000 peserta, suatu manifestasi sokongan KESUMA dalam menggerakkan perubahan gaya hidup secara kolektif. - Foto FB KESUMA

KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan golongan pekerja di Malaysia mendedahkan realiti membimbangkan apabila 59.2 peratus pekerja disaring didapati mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Dapatan diperoleh berdasarkan analisis Program Saringan Kesihatan (HSP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2023 hingga 2025, dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan mengakui angka itu cukup tinggi dan tidak boleh dipandang ringan.

"Dapatan itu turut menunjukkan kira-kira 19 peratus daripada mereka menghidap diabetes, manakala 17.45 peratus pekerja mempunyai tekanan darah tinggi.

"Malah, 59.24 peratus yang menjalani saringan didapati mempunyai masalah kolesterol tinggi dengan profil risiko ini berada dalam kalangan pekerja berusia 40 hingga 59 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan program PERKESO Run and Ride 2026 sempena Hari Pekerja 2026 di Dataran Wawasan, Putrajaya, hari ini.

Khairul Firdaus berkata masyarakat perlu sedar bahawa memasuki fasa usia sebelum persaraan adalah tempoh produktif, tetapi pada masa sama ia juga tempoh kritikal bagi risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Malah, katanya Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia ketika ini dapat mencapai tahap penuaan sejahtera.

Khairul Firdaus turut menyuarakan kebimbangan mengenai kes kanser yang kekal menjadi punca kematian ketiga tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin kerap berlaku dalam kalangan golongan muda.

Justeru, beliau menyarankan kesedaran mengenai bahaya NCD tidak dipandang ringan dengan menjadikan momentum kehadiran pada program anjuran PERKESO sebagai langkah intervensi untuk membudayakan hidup sihat dan pemakanan seimbang.

"Saya bangga dengan momentum positif dipamerkan melalui kadar penyertaan hari ini apabila kelompok peserta berusia 40 hingga 50-an mewakili hampir 30 peratus daripada keseluruhan peserta PERKESO Run and Ride 2026.

"Ini perkembangan amat baik dan saya harap semua pekerja tanpa mengira peringkat umur akan terus membudayakan corak hidup sihat.

"Aspek kesihatan pekerja adalah penentu produktiviti kita, malah secara tidak langsung mempengaruhi kelangsungan sosioekonomi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan