IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak sesekali mempertimbang sebarang kemungkinan untuk memberikan pengampunan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low.
Penjelasan itu diberikan Perdana Menteri susulan kekeliruan terhadap kenyataan beliau baru-baru ini mengenai perkara itu.
Mengulas lanjut, katanya kenyataan beliau sebelum ini bahawa isu itu "tidak berbangkit" tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tiada isu langsung, sebaliknya bermaksud perkara itu tidak dipertimbangkan oleh kerajaan.
"Namun isu yang menimbulkan kekeliruan ialah mengenai Jho Low. Apa yang saya maksudkan apabila saya kata ia tidak berbangkit bukan bermakna tiada isu. Saya berkata demikian kerana kita langsung tidak mempertimbangkannya," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Perak di Meru, hari ini.
Menurut Anwar, sebarang permohonan pengampunan melibatkan Jho Low tidak akan dilayan, memandangkan penglibatan ahli perniagaan itu dalam dakwaan salah laku dan kerugian kewangan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Jika dia memohon pengampunan, dia terlibat dalam salah laku, jenayah dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
"Jadi, jika dia mahu memohon pengampunan, apa yang boleh saya katakan ialah perkara itu tidak dipertimbangkan," katanya.
























