BH Online
Ringkasan Berita

Inkues Zara Qairina: Perunding psikiatri forensik akan dipanggil semula minggu depan

KOTA KINABALU: Seorang perunding psikiatri forensik dan seorang pegawai polis akan dipanggil semula bagi menyambung keterangan mereka dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir minggu depan.
Inkues Zara Qairina: Perunding psikiatri forensik akan dipanggil semula minggu depan

Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bersambung semula di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu pada Selasa. - Foto fail NSTP

KOTA KINABALU: Seorang perunding psikiatri forensik dan seorang pegawai polis akan dipanggil semula bagi menyambung keterangan mereka dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir minggu depan.

Peguam Shahlan Jufri berkata, pakar psikiatri forensik perunding Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Chua Sze Hung dijangka memberi keterangan semula.

Shahlan yang mengetuai pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, berkata mereka akan menyoal saksi ke-67 itu Isnin ini selepas pihaknya menangguhkan soalan ketika pakar berkenaan memberi keterangan bulan lalu.

Dr Chua sebelum ini memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa kematian Zara Qairina lebih konsisten dengan perbuatan bunuh diri dan kemungkinan dicetuskan oleh konfrontasi dengan rakan sebaya yang menyebabkan remaja berusia 13 tahun itu tertekan sebelum kematiannya.

Pada 16 Julai tahun lalu, pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah SMKA Tun Datu Mustapha. Dia disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Shahlan turut berkata, saksi ke-70, Asisten Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan yang menjalankan analisis forensik terhadap 15 telefon bimbit berkaitan kes itu akan menyambung keterangannya.

Mohd Zaidi sebelum ini mengemukakan kandungan analisisnya termasuk perbualan WhatsApp, video dan rakaman audio.

Peguam keluarga sediakan tiga saksi

Sementara itu, Shahlan berkata, pasukannya sudah menyediakan tiga saksi bagi prosiding inkues yang berlangsung selama seminggu itu.

"Antaranya ialah seorang saksi kanak-kanak yang juga ahli keluarga ibu Zara," katanya.

Pada hari terakhir prosiding inkues bulan lalu, pasukan Shahlan memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa kira-kira 10 hingga 11 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan.

Antara saksi yang disebut ialah pemeriksa dokumen Dr Linthini Gannetion, pakar tulisan tangan dan dokumen Dr Tay Eue Kam serta Dr Dzulkiflee Ismail, selain saintis forensik Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa.

Pakar lain yang dijangka memberi keterangan termasuk pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli dan pakar psikiatri Dr Wong Haw Huo.

Inkues Zara Qairina bermula pada 3 September lalu selepas mayatnya digali semula dan bedah siasat dijalankan.

Video Terkini

Berita Berkaitan