IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan terbaru kerajaan berkait lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dapat dicapai hasil daripada perubahan besar ditunjukkan sekolah aliran itu dari segi sikap dan penerimaan sepanjang empat dekad lalu.
Tegas Perdana Menteri perbincangan mengenai pengiktirafan graduan UEC sebenarnya mula dibangkitkan ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan kira-kira 40 tahun lalu, yang mana ketika itu sekolah persendirian Cina sebahagian besarnya terpisah daripada sistem pendidikan kebangsaan.
Mengimbau detik itu, beliau berkata mesyuarat antara pihak berkuasa pendidikan dan pertubuhan pendidikan Cina pada waktu itu sering berlangsung dalam suasana tegang, malah ada wakil yang enggan bertutur dalam bahasa Melayu.
"Dalam beberapa mesyuarat yang saya hadiri, pemimpin persatuan guru tersebut enggan bercakap walau sepatah perkataan pun dalam bahasa Melayu.
"Saya kekal bersabar dan mendengar, tetapi Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Tan Sri Rahman Arshad, berbisik kepada saya - Anwar, maafkan saya, tetapi saya terpaksa meninggalkan mesyuarat ini sekarang. Saya tidak dapat menerima sikap seperti ini," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Anwar berkata keadaan itu sudah pun berubah dengan ketara apabila sekolah persendirian Cina hari ini menunjukkan keselarasan yang lebih baik dengan kerangka pendidikan kebangsaan.
"Itu 40 tahun dahulu. Hari ini, semua wakil persatuan bertutur dalam bahasa Melayu.
"Lebih 80 peratus pelajar di sekolah Cina kini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/ UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
KPT memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
























