KUALA LUMPUR: "Kita tunggu dan lihat," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh selepas merasmikan Majlis Mega Growth Strategies Ketujuh di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bakal membuat pengumuman 'luar biasa' pada Ahad ini berhubung hala tuju baharu politik beliau serta Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Rafizi yang ditemui selepas memberi keterangan secara sukarela di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, bagaimanapun tidak mendedahkan perkara yang bakal diumumkannya itu.
Ditanya mengenai telahan sesetengah pihak bahawa beliau tidak akan meninggalkan PKR pula, Rafizi berkata, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.
Sebelum ini, media melaporkan Rafizi dan Nik Nazmi akan mengumumkan hala tuju baharu politik mereka, Ahad ini.
Rafizi dipetik berkata, tempoh sejak setahun lalu memberi ruang kepada kedua-dua mereka untuk meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menentukan langkah politik seterusnya.
Pengumuman itu dijadualkan dibuat pada satu acara terbuka di PJ Performing Arts Centre, One Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya, dari jam 2 hingga 5 petang.
























