BH Online
Ringkasan Berita

'Perubahan pada mata Kelat sebab perubahan hormon, kelenjar temporal bengkak ketika fasa musth' - MPT

IPOH: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan dakwaan gajah jantan yang dinamakan Kelat yang ditempatkan di Zoo Tennoji di Jepun, mengalami masalah mata, sebaliknya perubahan yang kelihatan di sekitar mata haiwan itu berpunca daripada pembengkakan kelenjar temporal ketika fasa musth.
'Perubahan pada mata Kelat sebab perubahan hormon, kelenjar temporal bengkak ketika fasa musth' - MPT

Tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun. Gambar fail

IPOH: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan dakwaan gajah jantan yang dinamakan Kelat yang ditempatkan di Zoo Tennoji di Jepun, mengalami masalah mata, sebaliknya perubahan yang kelihatan di sekitar mata haiwan itu berpunca daripada pembengkakan kelenjar temporal ketika fasa musth.

Fasa musth ialah keadaan semula jadi yang berlaku pada gajah jantan dewasa yang menyebabkan haiwan itu mengalami perubahan hormon sangat tinggi terutama peningkatan testosteron.

Presiden MPT, Mohamed Akmal Dahalan, berkata keadaan itu disebabkan tindak balas fisiologi semula jadi yang lazim berlaku pada gajah jantan dewasa ketika melalui fasa musth, iaitu satu fasa biologi yang berkait dengan perubahan hormon.

"Dalam tempoh ini, perubahan paras testosteron boleh menyebabkan gajah menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif daripada biasa.

"Keadaan ini normal dan sedang dipantau rapi oleh penjaga haiwan serta doktor veterinar. Dakwaan bahawa Kelat mengalami masalah mata adalah tidak tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kebimbangan dan spekulasi orang ramai berhubung kebajikan serta keadaan gajah Malaysia yang ditempatkan di Zoo Tennoji.

Mohamed Akmal berkata, perubahan di sekitar mata Kelat adalah berkaitan perubahan fisiologi ketika fasa musth, khususnya pembengkakan kelenjar temporal yang boleh memberi sedikit tekanan di kawasan sekitar mata.

Beliau berkata, keadaan itu adalah tindak balas semula jadi yang lazim berlaku pada gajah jantan matang dalam fasa berkenaan.

Katanya, semua tiga ekor gajah iaitu Kelat, Dara dan Amoi berada dalam keadaan stabil serta terus dipantau rapi pihak pengurusan zoo dan pasukan veterinar.

"Pemerhatian harian menunjukkan tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian mereka dalam keadaan baik, termasuk peningkatan berat badan sejak ditempatkan di Zoo Tennoji," katanya.

Mohamed Akmal berkata, Dara mencatat peningkatan berat 235 kilogram (kg), manakala Amoi meningkat 220kg dan Kelat pula menunjukkan pertambahan 460kg.

Beliau berkata, perubahan hormon ketika fasa musth boleh menyebabkan Kelat menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif daripada biasa, namun menegaskan keadaan itu adalah normal dan sentiasa dipantau.

Katanya, beberapa langkah pengurusan khas turut dilaksanakan sepanjang tempoh musth, termasuk pemantauan harian tingkah laku dan tahap agresif, pemeriksaan veterinar berkala, pengasingan terkawal serta pemantauan pengambilan makanan dan air.

"Program pengayaan persekitaran, pengurusan pemakanan dan latihan pengendalian gajah itu juga dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan haiwan itu berada pada tahap terbaik," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan berkaitan aktiviti 'pembiakan secara paksa', menyifatkannya sebagai tidak berasas dan bertentangan dengan syarat dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

"Aktiviti seperti itu tidak pernah berlaku dan dilarang sama sekali di bawah terma serta syarat MoU berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohamed Akmal berkata, Zoo Tennoji baru-baru ini menemui serpihan gading Kelat di dalam kandang, yang dipercayai tertanggal secara semula jadi.

"Pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan dan keadaan Kelat kekal stabil. Kawasan terbabit kini dipantau rapi bagi memastikan tiada jangkitan atau komplikasi," katanya.

Beliau berkata, MPT akan terus bekerjasama rapat dengan pihak zoo dan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah terbabit berada pada tahap terbaik.

Video Terkini

Berita Berkaitan