BH Online
Ringkasan Berita

Kerana mulut Nik Zawawi, siapa binasa?

ISU kontroversi petikan ceramah Setiausaha Majlis Syura PAS merangkap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh yang menyentuh kehidupan dua sahabat Nabi Muhammad SAW yang terpenting, iaitu Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA dan Sayidina Umar al-Khattab RA dalam ceramah di Kuala Terengganu, baru-baru ini, seolah-olah menjolok sarang tebuan.
Kerana mulut Nik Zawawi, siapa binasa?

Setiausaha Majlis Syura PAS merangkap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh. - Foto fail BERNAMA

ISU kontroversi petikan ceramah Setiausaha Majlis Syura PAS merangkap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh yang menyentuh kehidupan dua sahabat Nabi Muhammad SAW yang terpenting, iaitu Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA dan Sayidina Umar al-Khattab RA dalam ceramah di Kuala Terengganu, baru-baru ini, seolah-olah menjolok sarang tebuan.

Ini kerana ia membabitkan dakwaan spesifik sangat besar terhadap Abu Bakar dan Umar meskipun pada zaman jahiliah tanpa menyatakan sebarang rujukan baik daripada kitab sirah muktabar mahupun karya yang ditulis sepanjang sejarah termasuk oleh modenis Muslim dan orientalis.

Malah, Nik Mohamad Zawawi dalam video penjelasan dimuat naik di beberapa akaun media sosial sekali lagi mengibaratkan tindakannya berdiam diri buat sementara dengan apa dilakukan bekas Menteri Besar Kelantan yang juga mantan Mursyidul Am PAS, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu 'samseng' yang pernah heboh suatu ketika dulu.

Seingat saya ungkapan digunakan Allahyarham itu, sebenarnya ditegur oleh mufti dan ilmuwan terhadap penggunaan sesuatu kalimah walaupun dalam bentuk ibarat atau balaghah tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya apabila membabitkan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Saya yakin sekiranya hal itu berlaku ketika era media sosial ini, lebih ramai ulama, ilmuwan, mufti, asatizah mahupun penuntut ilmu akan memberikan reaksi terhadap isu sebegini seperti yang berlaku apabila petikan ceramah Nik Mohamad Zawawi itu tular.

Bukankah pimpinan PAS sendiri sering mengulang-ulang hadis 'mencegah kemungkaran' dengan tangan, lisan dan hati yang sudah tentu pencegahan yang paling ampuh dilakukan ahli ilmu adalah melalui kata-kata termasuk teguran dan nasihat dalam bentuk tulisan di media sosial?

Bagaimanapun, Nik Mohamad Zawawi memilih untuk terus menegakkan benang yang basah dalam video penjelasannya. Beliau bukan sahaja tidak memberikan bukti, iaitu kitab atau buku yang menyebut kisah hidup kedua-dua Khalifah ar-Rasyidin pada zaman jahiliah, malah terus berkeras dengan membawa gambaran zaman jahiliah yang sememangnya tidak menjadi titik pertikaian kepada mana-mana ahli ilmu yang menegurnya.

Malah, ramai ahli ilmu yang memberikan reaksi terhadap ucapan Nik Mohamad Zawawi membawakan fakta ketinggian budi pekerti Abu Bakar dan Umar walaupun pada zaman kegelapan itu tanpa menafikan ada babak tertentu yang digambarkan sendiri termasuk melalui wahyu al-Quran terutama kisah pengislaman Umar.

Mereka tidak hanya membawa sisi positif kedua-dua sahabat Nabi SAW itu ketika masyarakat Makkah dibelenggu gaya hidup dan penyembahan berhala, bahkan turut mendatangkan sumber kepada setiap apa dibentangkan terutama kitab sirah muktabar, hadis dan athar.

Malah, Mudir Markaz ad-Dirasat al-Islamiah Pusat Pengajian Islam Bukit Kijang yang juga Ahli Panel Kelinik Hukum Jabatan Mufti Terengganu, Mohd Hanapiah Hussin, memperincikan ketinggian budi Abu Bakar dan Isteri Rasulullah SAW yang juga Ummahatul Mukminin, Sayidatina Khadijah al-Khuwailid sebagai bukti tidak semua manusia berjiwa rendah pada zaman jahiliah.

Teguran juga diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memuat naik Tinta Mufti Bil 110/2026: Bahaya Menyebarkan Dakwaan Tanpa Ilmu, Menjawab Tuduhan Terhadap Sayidina Abu Bakar RA dan Sayidina Umar RA, iaitu daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

Bukankah mereka yang membaca sirah Nabi SAW ketika turunnya wahyu, akan bertemu dengan kisah Khadijah mendapatkan nasihat daripada Waraqah bin Naufal yang juga alim dengan kitab, sekali gus pastinya tidak akan terlibat dalam sebarang kejahatan pada zaman berkenaan.

Dakwa sahabat Nabi, perlu bawa riwayat sahih

Inilah yang tidak dibuat oleh Nik Mohamad Zawawi sedangkan ia sepatutnya dibentangkan selepas bukan sahaja isu itu tular, bahkan menyentuh sensitiviti umat Islam dan membabitkan amanah keilmuan termasuk berdasarkan kaedah seperti ditegaskan Pengajar Ma'ahad Darussalam Li Tahfiz AL Quran, Ahmad Faiz Hafizuddin, "La yuqbalu fi mathalibi as-sohabah illa an-naqlu as-sohih yang bermakna tuduhan terhadap sahabat tidak diterima melainkan dengan riwayat yang sahih."

Sebaliknya, Nik Mohamad Zawawi meminta orang lain untuk mencari sendiri sumber itu dalam hadis dan sirah, sedangkan seseorang yang membuat dakwaan berat sepatutnya mendatangkan bukti seperti dikehendaki dalam agama, iaitu 'al-bayyinah 'ala al-mudda'i' atau 'Bukti dan hujah wajib dikemukakan pihak membuat sesuatu dakwaan.'

Tidak hanya Nik Mohamad Zawawi tidak membawa bukti yang diminta ahli ilmu, bahkan beliau menyalahkan pula orang yang menegurnya, termasuk mempersoalkan sikap individu berkenaan terhadap isu seperti sekularisme, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Apakah ini bermakna beliau sudahpun meneliti setiap ungkapan dan tulisan dibuat ahli ilmu yang menegurnya atau apakah ia menunjukkan 'kebenaran' yang perlu dinyatakan mestilah mengikut apa yang ditentukan Nik Mohamad Zawawi dari segi cara dan kaedah penyampaian teguran serta nasihat?

Atau apakah ini membayangkan sikap yang tidak sepatutnya dipegang seseorang pemimpin, terutama ahli agama bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menasihatinya kecuali kalau sudah berbuat itu dan ini.

Bagaimana pula dengan teguran diberikan pemimpin partinya sendiri baik Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) melalui Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah? Apakah mereka juga tergolong dalam 'syaitan bisu' yang disebut Nik Mohamad Zawawi dalam video penjelasannya?

Apa yang ditunjukkan Nik Mohamad Zawawi sebenarnya boleh memalit imej buruk kepada parti Islamis itu, sekali gus mengiyakan persepsi bahawa pemimpin parti itu hanya menerima teguran daripada 'ulama' yang memimpin dan bergerak dalam PAS, manakala ulama di luar parti itu walaupun diiktiraf dan diperaku keilmuannya tidak layak menasihati mereka kerana kononnya 'tidak berjuang'.

Apatah lagi Nik Mohamad Zawawi juga adalah sebahagian daripada hirearki tertinggi parti, iaitu Majlis Syura PAS yang sudah tentu mempunyai kedudukan melebihi Dewan Ulama.

Beliau mungkin akan menghasilkan video penjelasan seterusnya dengan ucapan memohon maaf (sama ada membayangkan ikhlas atau masih cuba mempersalahkan orang lain, kita tunggu sahaja) tetapi ibarat kata pepatah, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'.

Cuma, kita tidak tahu apakah ia hanya setakat reputasi beliau dan kemungkinan dicalonkan sekali lagi atau apakah ia akan mengheret partinya sendiri serta tempiasnya kena kepada agama itu sendiri apabila dari semasa ke semasa, ada individu yang menggunakan kenyataannya untuk tujuan yang salah.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Video Terkini

Berita Berkaitan