BH Online
Ringkasan Berita

'Saya pindah sebab ke mana saja saya pandang, saya nampak dia' - Balu anggota FRU terkorban

IPOH: Setahun selepas kehilangan suaminya dalam nahas tragik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Haswati Rosdin masih bangun setiap pagi dalam keadaan sukar menerima hakikat bahawa insan yang pernah memenuhi setiap ruang hidupnya kini sudah tiada.
'Saya pindah sebab ke mana saja saya pandang, saya nampak dia' - Balu anggota FRU terkorban

Haswati Rosdin. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

IPOH: Setahun selepas kehilangan suaminya dalam nahas tragik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Haswati Rosdin masih bangun setiap pagi dalam keadaan sukar menerima hakikat bahawa insan yang pernah memenuhi setiap ruang hidupnya kini sudah tiada.

Kesunyian yang ditinggalkan Lans Koperal Damarrulan Abd Latif, seorang daripada sepuluh anggota FRU yang maut dalam nahas itu, terus menghantui balu berusia 45 tahun itu sehingga rutin harian paling kecil kini mengundang kenangan menyakitkan.

grk[we
Tragedi pada pada 13 Mei 2025 mengorbankan sembilan anggota FRU. - Foto BERNAMA

Haswati berkata, dia akhirnya membuat keputusan sukar untuk berpindah keluar dari kuarters polis pada Disember lalu kerana suasana di situ sentiasa mengingatkannya kepada arwah suami.

"Tinggal di kem tanpa dia terlalu menyakitkan. Setiap kali saya nampak orang pakai uniform atau anggota berkawad, saya nampak dia.

"Sebab itu saya ambil keputusan untuk berpindah dan mencari rumah lain," katanya.

Haswati menyifatkan Damarrulan sebagai suami penyayang yang menjaga dirinya serta anak-anak selama lapan tahun, termasuk ketika dia diserang angin ahmar pada 2019.

"Sejak saya jatuh sakit sampai boleh berjalan semula, dia uruskan semuanya... makan minum saya, semuanya. Bagi saya dia suami yang sangat baik. Susah nak jumpa orang macam dia," katanya.

Menurutnya, perkara paling sukar selepas pemergian suami ialah belajar berdikari, sesuatu yang sering dipesan arwah kepadanya.

"Dia selalu pesan kalau satu hari nanti dia dah tiada, saya kena kuat dan berdikari. Jangan susahkan orang dan jangan terlalu bergantung pada orang lain.

"Tapi bila dia betul-betul pergi, saya rasa hilang arah. Kami bersama selama lapan tahun. Tiba-tiba saya tak tahu nak buat apa lagi," katanya.

Haswati berkata, rutin hariannya sebelum ini banyak tertumpu kepada suaminya, termasuk menyediakan minuman dan pakaian seragam sebelum arwah keluar bertugas, walaupun untuk syif awal pagi.

"Sekarang bila bangun tidur, kadang-kadang saya masih teringat cawan kegemaran dia dan uniform dia. Barang itu masih ada, tapi dia sudah tak ada. Itu yang paling sakit," katanya.

Cuba teruskan impian arwah suami

Walaupun masih bersedih, Haswati berkata dia cuba meneruskan impian yang ditinggalkan arwah, termasuk membeli rumah untuk keluarga dan memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

"Dia selalu bercakap nak belikan rumah untuk kami dan anak-anak. Kami selalu bincang perancangan bersama, tapi dia tak sempat tengok ia jadi kenyataan.

"Sekarang saya dah berjaya tunaikan impian itu untuk dia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Klebang Jaya di sini.

17bh14trak
Keadaan lori muatan batu (kiri) dan lori trak FRU yang mengalami kemalangan. - Foto BERNAMA

Katanya, anak perempuan bongsunya turut menziarahi pusara arwah selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini bagi menunjukkan dia berjaya lulus, sekali gus menunaikan janji kepada bapa tirinya itu.

"Walaupun mereka anak tiri, dia sayang mereka macam anak sendiri. Dia selalu pesan supaya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Haswati turut berkongsi kenangan manis mengenai sifat penyayang Damarrulan yang sering membawanya menaiki motosikal ke Cameron Highlands dan sekitar Ipoh walaupun bergaji sederhana.

"Dia selalu nak buat saya gembira. Kadang-kadang lewat malam pun dia ajak saya pusing-pusing sekitar Ipoh.

"Dia pernah cakap, 'Nanti kalau saya dah tak ada, siapa lagi nak bawa awak keluar?' Masa itu saya tak faham apa maksud dia," katanya.

Walaupun setahun sudah berlalu, Haswati mengakui kesedihan itu masih terlalu berat untuk ditanggung sehingga dia kehilangan hampir 10 kilogram akibat terlalu merindui suami tercinta.

"Saya masih terlalu rindukan dia. Selama lapan tahun, dia layan saya macam seorang ratu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan