LANGKAWI: Sebuah pesawat ringan jenis Diamond Aircraft DA-40 terpaksa melakukan pendaratan cemas di padang bola berhampiran Stadium Langkawi di sini, ketika menjalani latihan penerbangan, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, berkata pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-HMJ itu dinaiki seorang jurulatih lelaki dan pelatih penerbangan wanita.
Beliau berkata, jurulatih, Kapten Mohamed Hafiz Iskandar bersama pelatih, Kadet Shah Izzati Maisarah Irwan Shah, dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
"Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada jam 9.40 pagi bagi menjalani latihan penerbangan di sekitar Langkawi.
"Kira-kira jam 10.20 pagi, jurulatih penerbangan memaklumkan kepada menara kawalan bahawa pesawat mengalami masalah kuasa enjin dan perlu melakukan pendaratan cemas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Azhar berkata, pesawat terbabit berjaya mendarat di Padang B, Stadium Langkawi pada jam 10.27 pagi, namun pemeriksaan awal mendapati roda hadapan pesawat patah ketika pendaratan dilakukan.
"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan membabitkan jurulatih dan pelatih penerbangan terbabit. Pasukan penyiasat juga sudah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya.
























