KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki yang bakal menamatkan kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, menegaskan beliau tidak akan sesekali meninggalkan bebanan yang terpaksa ditanggung penggantinya yang akan bermula Selasa ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai penyiasat SPRM untuk terus bersemangat meneruskan tugas sedia ada, malah bersedia menerima kepimpinan baharu selepas beliau melangkah keluar, esok.
Azam berkata, sebelum beliau mengosongkan pejabatnya, beliau sendiri akan memastikan pegawai penyiasat kekal profesional dan meneruskan kecemerlangan untuk menyiasat kes yang sudah ada dan baru sahaja diperoleh.
"Ini (tugasan) tak boleh dikompromikan dan saya cukup tegas dalam hal ini, malah semalam, saya baru mendapat maklumat (kes) dan terus mengarahkan pasukan penyiasatan untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai berkenaan. Jangan ditangguh.
"Saya tidak mahu tinggal bekas ini pula kepada Ketua Pesuruhjaya yang baru datang. Saya tak mahu tinggal beban kepada beliau.
"Saya kena 'clearkan' (tugasan) walau di hari akhir saya menjadi Ketua Pesuruhjaya dan jika ada siapa yang melakukan kesalahan baik jenayah ataupun apa-apa penyalahgunaan, ia perlu diambil tindakan," katanya dalam Podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi oleh SPRM, yang disiarkan di YouTube, hari ini.
Mengaitkan perkara itu dengan transformasi SPRM, Azam berkata, sejak Akta SPRM diwujudkan, agensi antirasuah itu sentiasa bersedia untuk melakukan pembaharuan sama ada dari segi operasi dan pencegahan.
Justeru, beliau menegaskan, tiada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilantik mahu menghancurkan termasuk menjejaskan imej agensi antirasuah itu.
"Zaman transformasi itu berlaku (dipelopori) oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim, diikuti Datuk Syukri Abdull dan kepimpinan-kepimpinan yang lain kerana mereka mempunyai minat dan niat yang sama iaitu mahu berkhidmat dan memberi yang terbaik kepada masyarakat.
"Tak ada Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang saya lihat dengan mata saya sendiri mahu menghancurkan agensi ini kerana niatnya adalah untuk rakyat. Perkara-perkara yang lapuk kena diperbaharui," katanya.
Beliau berkata, ramai melihat SPRM sebagai agensi penguat kuasa yang besar dan boleh melakukan apa sahaja serta berada di mana sahaja, sedangkan mereka sebenarnya hanya mempunyai keanggotaan sekitar 3,000 orang sahaja.
"Baik penyiasatan atau pencegahan, malah pendidikan masyarakat juga dan sekarang kita juga ditambah (untuk memastikan pelaksanaan) tatakelola yang baik. Ini menunjukkan tanggungjawab yang sangat besar terhadap kita yang hanya (mempunyai) keanggotaan 3,000 pegawai.
"Seolah-olah kekuatan dan tenaga kita macam 300,000. Seolah-olah kita ini sebuah kereta (kecil) tetapi enjinnya Mercedes. Saya sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya selalu ingatkan pegawai-pegawai untuk bersama-sama dengan saya dan bukan berkhidmat untuk saya.
"Disebabkan itu, saya mahu SPRM sentiasa melakukan pembaharuan-pembaharuan melalui 'approach-approach' yang baharu," katanya.
























