BH Online
Ringkasan Berita

Malaysia perkukuh hubungan strategik dengan Singapura dan Laos, tumpu kestabilan serantau - Anwar

CEBU: Malaysia terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Singapura dan Laos dalam usaha memperluas kerjasama strategik berasaskan kepentingan bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran rakyat ASEAN.
Malaysia perkukuh hubungan strategik dengan Singapura dan Laos, tumpu kestabilan serantau - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari Singapura, Lawrence Wong ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan sidang berkaitan di Cebu, Filipina. - BERNAMA

CEBU: Malaysia terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Singapura dan Laos dalam usaha memperluas kerjasama strategik berasaskan kepentingan bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran rakyat ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama, termasuk mempercepat pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapore Special (JS-SEZ) serta memastikan projek RTS Link beroperasi menjelang hujung 2026.

"Turut dibincangkan, usaha memperluas kerjasama tenaga boleh diperbaharui dan Grid Tenaga ASEAN, di samping memperdalam kerjasama dalam bidang Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS)," katanya sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan sidang berkaitan.

Malaysia turut menekankan kepentingan meneruskan rundingan sempadan maritim secara konstruktif dan berlandaskan undang-undang antarabangsa, selain menangani isu bekalan air, ruang udara serta pengurusan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) secara berhemah melalui semangat hormat dan persefahaman dua hala.

"Dalam membicarakan perkembangan serantau dan antarabangsa, Malaysia menekankan kepentingan gencatan senjata berkekalan di Asia Barat, kebebasan pelayaran di Selat Hormuz serta keperluan ASEAN terus memainkan peranan yang berprinsip dalam memelihara kestabilan, keselamatan dan kelangsungan rantaian bekalan global," katanya.

Dalam pertemuan berasingan bersama Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone, kedua-dua negara menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi serta keterhubungan serantau.

bhwung
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari Singapura, Lawrence Wong ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan sidang berkaitan di Cebu, Filipina. - BERNAMA
bhlos
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone ketika mesyuarat dua hala di Cebu, Filipina. - BERNAMA

"Malaysia turut menyokong usaha memperkasa integrasi ekonomi dan logistik ASEAN termasuk jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China serta kerjasama tenaga serantau melalui Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP)," kata Anwar.

Tambah Perdana Menteri lagi, dalam semangat Malaysia MADANI dan kebersamaan ASEAN, beliau percaya pembangunan mampan, saling menghormati serta perkongsian kemakmuran adalah kunci kepada kestabilan dan masa depan rantau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut hadir dalam kedua-dua pertemuan itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan