BH Online
Ringkasan Berita

Perlawanan akhir MIMAC 3.0 kecoh peserta Morocco serang penonton

TAIPING: Pusingan terakhir Kejohanan Malaysia International Muay Championship (MiMAC) 3.0 yang berlangsung di Dataran Warisan bertukar kecoh hampir 20 minit selepas seorang peserta mengamuk dan cuba menyerang penonton.
Perlawanan akhir MIMAC 3.0 kecoh peserta Morocco serang penonton

Peserta Morocco, Ousama Toqud ditenangkan penganjur setelah cuba menyerang penyokong dalam perlawanan akhir MIMAC 3.0 di Dataran Warisan, Taiping. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TAIPING: Pusingan terakhir Kejohanan Malaysia International Muay Championship (MiMAC) 3.0 yang berlangsung di Dataran Warisan bertukar kecoh hampir 20 minit selepas seorang peserta mengamuk dan cuba menyerang penonton.

Kekecohan berlaku apabila peserta dari Morocco, Ousama Toqud dibatalkan kemenangannya setelah menyepak muka lawannya Muhammad Nazifi Mat Nasir, 33, atau dikenali dengan nama Gpy Ciko ketika mangsa terjatuh dalam pusingan pertama.

Susulan kejadian itu Gpy Ciko diangkat sebagai juara oleh pihak pengadil bagi kategori 68-70 kilogram setelah mendapati peserta dari Morocco itu melakukan perlanggaran peraturan perlawanan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil Ousama bertindak melompat keluar dari gelanggang dan cuba menyerang penyokong Malaysia yang didakwa memprovokasinya.

Turut kelihatan Ousama dilemparkan kerusi ke arahnya dan suasana terus menjadi tegang.

Biarpun Ousama ditenangkan dan dibawa turun dari gelanggang oleh rakan sepasukannya, dia tetap memberontak dan mahu melawan penonton sebelum ditenangkan rakan sepasukan.

Penganjur perlawanan Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab, berkata insiden membabitkan peserta dan penonton pada perlawanan terakhir itu disifatkan berlaku secara tidak sengaja, namun dapat dikawal dengan pantas oleh pihak penganjur dan polis.

"Berdasarkan peraturan, peserta yang sudah jatuh tidak boleh dipukul atau ditendang.

"Namun perkara itu berlaku dan ia kemudian mencetuskan reaksi kurang sabar dalam kalangan penonton," katanya.

Sementara itu Gpy Ciko berkata dia tidak berpuas hati dengan tindakan lawan itu kerana mereka sudah dilatih untuk bersikap profesional.

Bagaimanapun pasukan dari Morocco telah datang padanya bagi memohon maaf termasuk Ousama.

Dalam pertandingan malam tadi, dua daripada lima atlet Malaysia berjaya menjadi johan manakala tiga lagi kalah kepada Thailand dan Morocco.

Video Terkini

Berita Berkaitan