RAUB: Seorang guru wanita kerugian RM431,000 selepas diperdaya sindiket menyamar pegawai mahkamah di sini, yang mendakwa mangsa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, berkata kejadian berlaku selepas mangsa berusia 42 tahun menerima panggilan telefon pada 2 Februari lalu daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili syarikat insurans dan memaklumkan mangsa membuat tuntutan perubatan berjumlah RM68,000.
Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang menyamar pegawai mahkamah.
"Suspek kemudian mendakwa akaun bank milik mangsa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.
"Susulan itu, mangsa diarah menukar nombor telefon bagi tujuan akses perbankan internet, selain diminta membuat beberapa transaksi pemindahan wang kononnya bagi tujuan pengurusan kes dan bayaran jaminan mahkamah.
"Akibat terpedaya dengan helah sindiket berkenaan, mangsa menggunakan wang simpanan peribadi dan membuat pinjaman serta menggadaikan barang kemas bagi memenuhi permintaan suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Shahril berkata, mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak lagi mampu membuat bayaran sebelum tampil membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Raub pada 24 April lalu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Katanya, orang ramai perlu lebih berhati-hati jika menerima panggilan mencurigakan daripada individu mengaku pegawai penguat kuasa atau wakil agensi kerajaan.
"Sebarang semakan nombor telefon dan akaun bank mencurigakan boleh dibuat menerusi portal https://semakmule.rmp.gov.my atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.






















