BH Online
Ringkasan Berita

Baja organik IWK bantu pekebun kecil depani krisis global

KUALA LUMPUR: Dalam mendepani cabaran ketidaktentuan bekalan baja global, inovasi baja organik hasil penyelidikan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd kini muncul sebagai alternatif strategik bagi membantu kelangsungan operasi pekebun kecil di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Dalam mendepani cabaran ketidaktentuan bekalan baja global, inovasi baja organik hasil penyelidikan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd kini muncul sebagai alternatif strategik bagi membantu kelangsungan operasi pekebun kecil di Malaysia.

Langkah itu dilihat tepat pada masanya memandangkan negara ketika ini hanya mengeluarkan kira-kira 39 peratus daripada keperluan baja domestik, sekali gus mendedahkan sektor pertanian kepada risiko gangguan rantaian bekalan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, berkata baja organik yang dihasilkan daripada biosolid (enap cemar kumbahan dirawat) itu mampu memaksimumkan keberkesanan nutrien selain mengurangkan beban kos petani.

"Dalam satu ujian di ladang kelapa, penggunaan baja IWK sekali setiap dua minggu berjaya mengurangkan kos pembelian baja daripada pembekal lain sebanyak kira-kira 68 peratus.

"Ini merupakan kelebihan besar bagi petani yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ancaman geopolitik global

Isu kekurangan baja semakin meruncing ekoran ketegangan geopolitik Iran-Amerika Syarikat serta tindakan China mengetatkan eksport urea dan fosfat bagi melindungi sekuriti makanan negara mereka sendiri.

Malah, gangguan di laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz menyebabkan kos bahan mentah melonjak antara 100 hingga 150 peratus dalam tempoh singkat, memaksa pengeluar tempatan menghentikan tempahan baharu.

Situasi ini selaras dengan penekanan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 (DKMN 2030) Januari lalu, yang memberi amaran mengenai kesan domino kenaikan kos input terhadap inflasi harga makanan.

Terbukti berkesan dan selamat

Baja organik IWK dalam bentuk serbuk dan pelet

Kajian oleh Indah Water Research Centre (IWRC) menunjukkan baja organik IWK yang mengandungi kira-kira tujuh peratus unsur NPK (Nitrogen, Fosforus, Kalium) berkesan memulihkan tanah tidak berkualiti.

Ujian ke atas tanaman makanan seperti bendi, terung, sawi dan keledek menunjukkan peningkatan ketara dalam pertumbuhan. Malah, percubaan ke atas pokok kelapa yang terjejas akibat panas melampau membuktikan pemulihan pelepah dan hasil buah kembali normal selepas penggunaan selama lima bulan.

Dari sudut keselamatan, baja ini telah melalui analisis ekstensif oleh SIRIM melalui Prosedur Naik Turun Ketoksikan Oral Akut (UDP) yang mengesahkan ia bebas logam berat berbahaya dan patogen.

Sokongan hukum syarak

Penggunaan baja ini turut diperkukuhkan menerusi keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada Februari 2025 yang memutuskan bahawa penggunaan biosolid sebagai sumber baja organik adalah harus, selagi ia terbukti selamat dan bermanfaat.

Pandangan ini selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pahang (2025), menyusuli langkah Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor sebelum ini.

Hala tuju ekonomi kitaran

Tambah Narendran, IWK kini berupaya mengeluarkan sehingga empat ke lima tan baja organik sehari dengan potensi memperluaskan pengeluaran ke empat wilayah utama di Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan kos logistik.

"Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pemuliharaan tanah dengan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, malah memajukan ekonomi kitaran dengan mencipta nilai tambah daripada sisa kumbahan," katanya.

Meskipun belum disasarkan untuk pemain industri berskala besar, baja organik IWK menawarkan jalan keluar yang mampan untuk pekebun kecil membina daya tahan dalam mendepani krisis bekalan global yang kian mencabar.

Perbandingan antara had parameter yang dibenarkan di bawah Piawaian Malaysia dengan parameter bagi Biosolid Kering IWK dan baja organik IWK.

Video Terkini

Berita Berkaitan