KUALA LUMPUR: Ancaman penipuan siber dan isu keselamatan digital kini berdepan saingan sengit apabila lebih 300 pakar teknologi muda tampil mempertaruhkan solusi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam acara TNG Digital FINHACK 2026, baru-baru ini.
Program hackathon sulung anjuran TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) itu bukan sekadar pertandingan kod komputer biasa, sebaliknya menjadi medan tempur idea selama 36 jam bagi mencari jalan keluar kepada kemelut utama industri teknologi kewangan (fintech).
Ketua Pegawai Teknologi TNG Digital, Leslie Lip berkata, fokus utama penganjuran kali ini adalah untuk menterjemahkan teknologi AI daripada sekadar "trend" kepada alat praktikal yang mampu melindungi pengguna.
"Cabaran dalam fintech seperti penipuan kewangan dan akses yang terhad bukanlah perkara asing, namun cara kita menyelesaikannya perlu berubah.
"Menerusi FINHACK, kami melihat generasi baharu pembangun perisian menggunakan AI bukan sekadar hiasan, tetapi sebagai instrumen proaktif untuk menjadikan sistem kewangan lebih selamat dan inklusif," katanya ketika majlis penutupan program tersebut.Â
Tiga agenda utama
Sepanjang program yang berlangsung di Grand Summit, Connexion, Bangsar South pada 25 hingga 26 April lalu, para peserta yang terdiri daripada pelajar dan usahawan digital memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tiga agenda kritikal.Â
Fokus utama merangkumi usaha memulihkan kepercayaan pengguna melalui pengukuhan sekuriti digital bagi membendung jenayah kolar biru, selain memperkasa keadilan kewangan dengan membuka ruang akses kepada komuniti luar bandar serta golongan terpinggir.
Pada masa sama, aspek automasi pintar turut ditekankan bagi mempercepatkan urusan operasi harian menerusi sistem yang lebih cekap dan responsif.
Sokongan gergasi teknologi
Kejayaan FINHACK 2026 turut didorong oleh kerjasama strategik pemimpin teknologi global seperti Alibaba Cloud, OceanBase, Visa dan Amazon Web Services (AWS) yang menyumbang dari segi kepakaran teknikal dan dana.
Mengulas lanjut, Leslie menjelaskan TNG Digital kini sedang menilai beberapa solusi berpotensi untuk diserap masuk ke dalam ekosistem TNG eWallet melalui program inkubasi dan mentor.
"Langkah ini penting bagi memastikan idea yang lahir dalam dewan pertandingan dapat dilaksanakan di dunia nyata, sekali gus memberi impak besar kepada ekonomi digital Malaysia," tambahnya.
Inisiatif ini membuktikan komitmen TNG Digital dalam memupuk bakat tempatan untuk terus menerajui fasa seterusnya dalam evolusi kewangan digital negara.























