BH Online
Ringkasan Berita

JustGO catat 500,000 transaksi, pengguna harap peluasan segera ke seluruh negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak 500,000 transaksi telah direkodkan melalui sistem pembayaran tol berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) sejak projek rintis JustGO mula dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan, Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 500,000 transaksi telah direkodkan melalui sistem pembayaran tol berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) sejak projek rintis JustGO mula dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan, Januari lalu.

Angka memberangsangkan ini sekali gus mencetuskan permintaan tinggi daripada pengguna di luar zon operasi yang mahukan sistem berkenaan diperluaskan dengan kadar segera.

Penerimaan positif ini dapat dilihat melalui kehadiran orang ramai di gerai JustGO sempena Karnival Jom Heboh X Mega Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) MADANI 2026.

Norhasimah Mustafa, seorang penjawat awam dari Shah Alam, berkata beliau tertarik untuk mendaftar selepas melihat kemudahan sistem itu yang tidak lagi memerlukan pemandu terikat pada mod pembayaran tertentu di plaza tol.

"Saya sering berulang-alik ke utara untuk urusan kerja.

"Sebelum ini, setiap kali menghampiri plaza tol, saya perlu memastikan lorong yang dipilih sesuai dengan mod pembayaran sedia ada. Jika sistem ini boleh membebaskan saya daripada kerumitan itu, ia adalah satu manfaat yang amat besar," katanya.

Seiring dengan itu, Azri Ismail yang berasal dari Nilai turut berkongsi pengalaman serupa. 

Beliau mengakui sering berdepan situasi di mana terdapat lorong kosong yang tidak boleh dilalui hanya kerana perbezaan mod pembayaran, selain isu teknikal melibatkan peranti atau pelekat yang sering mencetuskan kesesakan.

Konsep "lane freedom" yang mudah

Keunikan JustGO terletak pada pengenalan konsep "lane freedom" yang memberikan kebebasan kepada kenderaan untuk melalui mana-mana lorong tol tanpa lagi bergantung kepada penggunaan kad, peranti, mahupun pelekat.

Menerusi pemerkasaan teknologi ANPR, nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik manakala caj tol pula diproses secara terus menerusi kaedah pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi tanpa sebarang kos pendaftaran.

Apa yang lebih menarik, berbeza dengan sistem terdahulu yang bersifat eksklusif, JustGO dibangunkan sebagai platform terbuka yang mesra penyertaan pelbagai syarikat konsesi lebuh raya.

Langkah proaktif ini secara tidak langsung membuka ruang kepada lebih banyak syarikat konsesi untuk menyertai rangkaian tersebut, sekali gus membolehkan pengguna menikmati satu sistem pembayaran yang seragam di seluruh negara pada masa hadapan.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyifatkan peningkatan transaksi itu sebagai isyarat positif terhadap keupayaan pengurusan sistem berkenaan.

Langkah ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk melaksanakan sistem tol pelbagai lorong bebas halangan (MLFF) sepenuhnya menjelang tahun 2027.

Dalam pada itu, aplikasi JustGO kini telah mencatatkan hampir 250,000 muat turun, mencerminkan keyakinan tinggi rakyat terhadap inovasi tersebut.

Buat masa ini, fasa rintis sedang beroperasi di sembilan plaza tol antara jajaran Hutan Kampung hingga Sungai Dua, melibatkan 78 lorong sepanjang 87.7 kilometer.

Walau bagaimanapun, bagi Radzi Zin yang berasal dari Perlis, beliau berharap agar proses perluasan sistem ini dapat dipercepatkan.

Meskipun sudah merasai sendiri kemudahan JustGO sejak beberapa bulan lalu, beliau merasakan manfaat tersebut harus dinikmati secara lebih menyeluruh.

"Isu utama saya sekarang bukan pada sistem, tetapi sistem ini belum sampai ke kawasan saya.

"Saya harap peluasan dapat dilakukan segera demi kemudahan semua pengguna lebuh raya," tambahnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan