TAIPING: Jenazah Zamri Hashim, 44, yang maut dalam kemalangan di Batu 22 Jalan Tapah - Cameron Highlands malam tadi selamat dikebumikan pada jam 2.15 di Masjid Al-Hidayah, Asam Kumbang, Taiping selepas solat Jumaat.
Terdahulu jenazah disolatkan lebih 200 jemaah sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu.
Suasana hiba menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu apabila sanak dan saudara turut meratapi pemergian arwah sebelum dikebumikan.
Terdahulu BH melaporkan Zambri bersama keluarga dalam perjalanan ke Cameron Highlands untuk menziarahi datuknya yang meninggal dunia.
Walaupun jenazah telah dikebumikan, Zamri difahamkan tetap mahu meneruskan perjalanan.
Dalam kejadian jam 8.44 malam, mangsa yang memandu Perodua Aruz maut selepas kenderaan dinaiki bersama isteri dan empat anak terbabas sebelum terjatuh ke sungai.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim memaklumkan tiada perlanggaran berlaku dengan kenderaan lain, manakala semua mangsa lain yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan.
























