BH Online
Ringkasan Berita

Musa minta semua pihak di Sabah bertenang, amal perbelanjaan berhemah hadapi krisis Asia Barat

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meminta semua pihak di Sabah supaya bertenang dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Musa minta semua pihak di Sabah bertenang, amal perbelanjaan berhemah hadapi krisis Asia Barat

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman ketika tiba bagi menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu hari ini. - Foto Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meminta semua pihak di Sabah supaya bertenang dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata, krisis yang berlaku di wilayah berkenaan turut memberi kesan kepada ekonomi domestik yang boleh mempengaruhi inflasi berikutan kenaikan kos minyak dan logistik antarabangsa.

"Seperti yang semua sedia maklum, ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk ekonomi domestik.

"Keadaan ini dijangka memberi tekanan inflasi terhadap harga barangan keperluan dan bekalan makanan susulan kenaikan kos minyak serta peningkatan perbelanjaan logistik antarabangsa.

"Dalam menghadapi situasi yang tidak menentu ini, saya menyeru semua pihak agar kekal tenang dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.

Musa berkata, menyedari cabaran luaran itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah proaktif bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Usaha itu, katanya, penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan memastikan kestabilan yang berterusan.

"Perancangan dan pembangunan yang telah dirangka ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak.

"Sudah tiba masanya kita bersatu hati, tanpa mengira kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik untuk bersama membangunkan negeri ini dengan penuh tanggungjawab, demi kemajuan serta kesejahteraan bersama," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan